Sep 28, 2009

MANTAN MUFTI BAGI PANDANGAN TERHADAP YB HASAN ALI


PETALING JAYA: Kritikan Pesuruhjaya PAS Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali terhadap tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) turut mendapat reaksi dari mantan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin.

“Saya berpendapat YB Dato Dr Hasan Ali mestilah terus bertegas menyatakan sikap yang telus dan pendiriannya yang Islamik walaupun mungkin bertentangan dengan Kerajaan Negeri. Itu sebagai tanggungjawab ‘hisbah’ atau membetulkan perjalanan pemerintahan," jelas beliau pagi tadi.

Menurut Dr Asri, kerajaan-kerajaan yang baru diberi mandat oleh rakyat jangan dibiarkan merasa begitu 'complacent' dan berani untuk buat apa sahaja yang akhirnya penyakit-penyakit lama dalam politik dulu akan diwarisi oleh kerajaan-kerajaan yang baru.

"PAS sebagai parti yang selama ini melaungkan slogan Islam tidak boleh tenggelam dalam permainan politik sehingga melupai prinsip-prinsip yang pernah dinyatakan," kata tokoh agama yang terkenal dengan kelantangannya menyuarakan pendapat dan tidak berpihak pada mana-mana parti politik.

Kata Dr Asri lagi, jika selama ini PAS lantang mengkritik Kerajaan BN, apakah wajar untuk PAS membisukan apabila melihat kecacatan yang nyata dalam kerajaan yang dikongsinya dengan orang lain.

"Selama PAS menyatakan prinsipnya dan sikapnya yang Islamik, maka PAS akan dianggap berpendirian dan tidak hanyut dalam permainan politik semata,” jelas Dr Asri.

Sebelum ini, Hasan mempertahankan kritikannya terhadap tatacara Selcat dan menyifatkan kritikan itu sebagai satu tindakan wajar.

"Adakah salah bagi seorang Exco untuk mencadangkan kepada Selcat agar mempertingkatkan kecekapan, keberkesanan imejnya dan penerimaan oleh publik," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat khas Badan Perhubungan PAS Selangor baru-baru ini.

Pendirian Hassan yang terus-terusan mempertikaikan isu Selcat telah mencetuskan polemik baru dan mendapat rekasi pelbagai dari beberapa pihak.

Namun, PAS pusat yang akan mengadakan mesyuarat khas Selasa ini, tidak bercadang untuk mengambil tindakan disiplin ke atas Dr Hassan. Sebaliknya, pucuk kepimpinan parti itu hanya mendapatkan penjelasan lanjut daripada Hasan iaitu Exco kanan Kerajaan Negeri Selangor.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa juga berpendapat usul supaya Hasan harus dikenakan tindakan cuma perbezaan pandangan yang wujud di kalangan pemimpin negeri dan pusat.

"Ianya bukan menunjukkan ada usaha mahu menjatuhkan beliau. Saya tidak melihat kepada keperluan sampai ke peringkat itu kerana bagi saya Datuk Hasan memberikan pandangan beliau tentang perlunya prosedur Selcat diperbaiki. Bagi saya memberikan pandangan sebegitu tidaklah sampai perlu diambil tindakan disiplin," jelas Nasharudin.

PAS Selangor juga bersetuju bahawa jika Selcat menerima pandangan Hasan, ia boleh berfungsi dengan lebih baik.

2 comments:

  1. salam, mana adabnye Hassan Ali membuat teguran dalam sidang akhbar manakala tok peti pulak sokong sepatutnya nasihatkan sebab Hassan Al tu Exco Kerajaan Negeri dan Juga ADUN bermesyuarat dan berbincanglah bukan nya buat perkara sebegitu penting hanya dikaki lima atau ditepi jalan

    ReplyDelete
  2. salam 1taqwa, saudara ku,

    Ramai org yg dkritik @ ditegur menghabiskan masa utk berbahas tentang cara dia dikritik hingga akhirnya dia lupa akan isi kritikkan itu. Begitulah cara mereka berterima kasih pd org yg mengkritik / menegur...

    Ada kritikan yg membina, ada yang menyakitkan, ada yg menghancurkan, ada yg sekadar amaran, ada yg mungkin pesan, ada yg mungkin pujukan...apa jua bentuknya, hayatilah isinya....jiwa tersentuh, akal jangan gemuruh

    ReplyDelete