Aug 27, 2009

SPRM MENGAKUI SERBU PEJABAT ADUN TANPA NOTIS

Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui menyerbu pejabat ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, tanpa menyerahkan notis geledah lebih awal untuk mendapatkan dokumen penting.

Alasan diberikan oleh Penolong penguasa SPRM Mohd Najeib Ahmad Walat, 29,ialah tindakan itu perlu, kerana jika diberitahu lebih awal, berkemungkinan tiada sebarang dokumen akan diperolehi.

Ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-17 di inkues kematian Teoh Beng Hock, beliau mengakui kedatangan pegawai SPRM secara agak mengejut itu, mengundang rasa tidak selesa dan kegelisahan di pihak mendiang dan Yong.

"Saya bersetuju, ekoran keadaan itu (kedatangan SPRM) juga membuatkan mereka gelisah kerana tidak bersedia untuk menyambut kedatangan kami dan menyediakan dokumen yang dikehendaki," katanya.

Katanya SPRM hanya menyerahkan notis sitaan bagi seunit CPU dan komputer riba. Notis sitaan itu ditandatangani Yong sebagai tanda pengesahan.

Menerusi CPU komputer itu, Mohd Najeib berkata beliau dan pasukannya mendapati terdapat maklumat berkaitan sumbangan untuk persatuan penjaja Seri Kembangan, satu sumbangan untuk mangsa kebakaran dan dua lagi dokumen sumbangan tetapi gagal mengingati untuk pihak mana, manakala di dalam komputer riba didapati terdapat empat invois syarikat.

Sebelum itu Mohd Najeib berkata Beng Hock pada awalnya hanya menyerahkan beberapa dokumen peruntukan ADUN Seri Kembangan bagi tahun 2009 walaupun mereka meminta dokumen bagi tahun 2008.

"Selepas saya semak dokumen (2008), apa yang dikehendaki itu tiada dan apabila ditanya dia (Beng Hock) gagal memberikan jawapan. Ia menimbulkan keraguan.

"Kemudian Mohd Anuar mengarahkan saya membuat penyiasatan ke atas meja kerja Teoh dengan kehadiran Beng Hock sendiri," katanya ketika disoal peguam yang mewakili kerajaan Malaysia Tan Hock Chuan.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Yong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan kepada SPRM sebagai saksi dalam siasatan dakwaan salahguna wang RM2,400 oleh majikan beliau.

Mohd Najeib turut memberitahu tidak mendengar bunyi suara pertengkaran pada malam Teoh berada di pejabat SPRM dan sekiranya ia berlaku berkemungkinan beliau akan mendengarnya.

Ditanya Gobind adakah kenyataan Mohd Anuar semalam bahawa Teoh dan Ahli Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah bergaduh di tandas SPRM pada pukul 2 pagi adalah satu penipuan, beliau berkata: "Tidak tahu. Saya balik pada pukul 2.30 pagi tapi itu anggaran saya sahaja."

Mohd Najeib sentiasa diasak dengan pelbagai soalan oleh Gobind yang jelas tersinggung dengan nada persoalan Gobind. Ada satu ketika Gobind bertanya sama ada Mohd Najeib faham berbahasa Melayu atau tidak dan memintanya hanya fokus pada soalannya sahaja, bagaimanapun Mohd Najeib tetap bertegas dengan setiap jawapannya walaupun seringkali dituduh sebagai penipu.

Prosiding di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung esok

No comments:

Post a Comment