Aug 7, 2009

INKUES KEMATIAN TEOH ....2 KEMUNGKINAN PUNCA KEMATIAN

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner yang mendengar inkues kematian Teoh Beng Hock di sini hari ini diberitahu terdapat dua kemungkinan punca kematian Teoh, sama ada ia satu kemalangan atau sebaliknya.

Ahli Kimia Dr Seah Lay Hong, ketika yang ditanya peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh, berkata perkara itu diberitahu kepadanya oleh pegawai penyiasat, ASP Ahmad Nazri Zainal.

Sebelum itu, beliau menegaskan Ahmad Nazri tidak pernah menyatakan kepadanya bahawa kematian Teoh disebabkan pembunuhan.

Teoh, 30, Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam.

Mendiang sebelum itu memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Sementara itu, timbul suasana tegang pada prosiding inkues di sesi petang apabila Gobind Singh tidak henti-henti mengasak Seah dengan menanya pelbagai soalan berhubung deoxyribonucleic acid (DNA).

Walaupun Koroner Azmil Muntapha Abas cuba mencelah dengan meminta Gobind memahami apa yang diberitahu ahli kimia itu, Gobind tetap bertegas untuk mengajukan soalan.

Pada awalnya Gobind mempertikai mengapa Seah tidak melakukan calitan pada semua bahagian di seluar panjang, kemeja T, tali pinggang, seluar dalam dan jaket milik Teoh kerana beranggapan ia amat penting bagi mendapatkan keputusan lebih baik.

Bagaimanapun, Seah berkata tidak semua eksibit itu mempunyai kawasan kontak dan DNA tidak akan diambil pada bahagian yang mempunyai kesan darah.

Seah sesekali menempelak Gobind supaya memahami kerja-kerja seorang saintis dan memberitahu Gobind bahawa beliau tahu apa yang perlu dibuat atau sebaliknya ke atas eksibit yang diserahkan oleh pegawai penyiasat.

Selain itu Gobind turut mempersoal mengapa Seah tidak meminta gambar keadaan mayat Teoh bagi memudahkannya membuat analisis. Bagaimanapun, Seah berkata ia tidak perlu.

Ketika ditanya peguam Tan Hock Chuan yang turut membantu Azmil mengendalikan prosiding itu adakah ia menjadi perkara biasa bagi Seah menggunakan gambar untuk membuat analisis, ahli kimia itu berkata: "Ia bukan normal. Kebiasaannya, pegawai siasatan memberi kami eksibit."

Apabila ditanya Gobind adakah terdapat kemungkinan Teoh dipegang pada tali pinggang yang dipakainya dan tali pinggang itu kemudiannya terputus sebelum beliau terjatuh, Seah berkata ia adalah spekulasi tetapi ia juga satu kemungkinan. - Bharian

No comments:

Post a Comment