Aug 27, 2009

SAYA TAK BERGADUH DENGAN TEOH BENG HOCK

Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah menafikan tuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bahawa beliau dan Teoh Beng bergaduh sebelum setiausaha kepada exco Selangor itu ditemui mati.

Boon Wah berkata pegawai SPRM yang dikatakan mendengar 'pertelingkahan' antara dia dan mangsa telah merekacipta cerita dalam akuannya kepada jawatankuasa siasatan semalam.

Beliau, antara saksi yang dipanggil SPRM dalam operasi besar-besaran agensi itu terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, berkata demikian sebagai respon kepada dakwaan pegawai penyiasat SPRM, Mohd Anuar Ismail semalam.

Anuar dalam akuannya ke hadapan koroner Azmil Muntapha Abbas berkata dia diberitahu oleh seorang lagi pegawai penyiasat SPRM, iaitu Bulkini Paharuddin bahawa Boon Wah dan Beng Hock bertengkar dalam tandas ibupejabat SPRM Selangor sekitar jam 2 pagi, sebelum Beng Hock ditemui mati.

Boon Wah berkata pertelingkahan itu tidak mungkin berlaku kerana beliau tidak berada di tandas SPRM pada jam itu.

Boon Wah berkata dirinya disoal-siasat dari jam 10 malam hingga 2 pagi tanpa henti. Selepas soal-siasat tamat, dia dibawa ke pantri untuk minum, sebelum membuat panggilan kepada keluarganya. Semasa panggilan dibuat, jam menunjukkan waktu 2.30 pagi, dan sepanjang waktu, dia diiring seorang pegawai SPRM.

Inkues hari ini menyaksikan pegawai yang menyiasat Beng Hock, Mohd Najeib Ahmad Walad dipanggil ke kandang saksi. Mohd Najeib berkata beliau tidak mendengar apa-apa pergaduhan semasa beliau meninggalkan SPRM sekitar jam 2.30 pagi hari kejadian.

sumber

No comments:

Post a Comment