24 September 2012
“Ketika sedang menahan kesakitan, kedua-dua penjenayah itu yang berniat untuk menyamun kemudian menghampiri saya lalu memeriksa dompet dan telefon bimbit. Namun hampa kerana mendapati saya langsung tidak mempunyai wang," demikian cerita Abu Sayed Sulaiman, 23, yang disamun di Bukit Rinting, Taman Rinting, di sini, pada jam 1 pagi ketika mahu pulang ke rumahnya selepas menghantar rakan di Jalan Cendana, di sini, kelmarin.
Abu Sayed berkata, dia yang menunggang motosikal Yamaha LC secara berseorangan selepas selesai menghantar rakannya sedar diekori sebuah RXZ yang dinaiki dua individu sejauh lebih kurang dua kilometer, namun tidak menyangka perkara buruk menimpa dirinya.
“Selepas memeriksa semua barang dan mendapati dompet saya tiada wang serta telefon bimbit yang saya gunakan jenis biasa sahaja, mereka tidak berminat untuk mengambilnya dan sekadar mencampaknya semula kepada saya.
“Selepas mereka melarikan diri, saya yang kesakitan bangun juga dan menaiki motosikal pergi ke rumah rakan yang terletak berhampiran tempat kejadian untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Beliau berkata, lokasi kejadian dia disamun itu sememangnya sunyi ditambah waktu kejadian pada jam 1 pagi menyebabkan dia tidak dibantu oleh sesiapa.
“Saya dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) oleh rakan namun lebih memeritkan apabila diberi rawatan kecemasan selepas lebih lima jam menunggu sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
“Keluarga saya pun juga hanya dimaklumkan berhubung kejadian pada jam 9.30 pagi tadi (semalam).
“Saya juga belum sempat untuk membuat laporan polis disebabkan tidak mampu untuk bangun akibat kecederaan yang dialami kerana hampir keseluruhan badan saya mengalami kecederaan,” katanya yang menerima tujuh jahitan di kening dan lima jahitan di dagu.
Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas dan Johor, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan membantu mangsa dan keluarga untuk membuat laporan polis berhubung kejadian secepat mungkin selain menyalurkan dari segi kewangan iaitu kos rawatan yang diperlukan mangsa.
“Kami akan bantu mangsa mengikut keperluannya terutamanya dari segi laporan polis bagi memastikan nasibnya terbela dan kes seperti ini tidak terjadi kepada individu lain.
“Saya minta pihak berkuasa mengambil perhatian tentang perkara ini dengan mempertingkatkan rondaan di kawasan berkenaan agar peristiwa tidak diingini ini berulang kembali,” katanya.
No comments:
Post a Comment