Sep 21, 2012

Curiga kematian anak, mahu penjelasan terperinci


Wartawan Sinar Harian
21 September 2012
Curiga kematian anak, mahu penjelasan terperinci
Sivarajoo (kiri) bersama Syed Othman menunjukkan gambar Sivanu dan salinan laporan polis yang telah dibuat.
PASIR GUDANG – Kematian anak lelaki yang dikatakan mati lemas di dalam kawasan air pancut di Singapura Ahad lepas menimbulkan keraguan kepada keluarga mangsa.

Bapa mangsa, N Sivarajoo, 45, berkata, pada kira-kira jam 5 pagi hari kejadian, anaknya, S Sivanu, 25,  sempat menghubungi emaknya untuk mengucapkan selamat hari lahir.

Menurutnya, Sivanu berjanji untuk pulang menyambut hari lahir emaknya di Taman Cendana, di sini selepas habis bekerja, namun mereka dikejutkan dengan berita kematian anak yang menjadi harapan keluarga itu.

“Saya diberitahu Sivanu ditemui dalam keadaan tertiarap sambil memeluk begnya di dalam kawasan air pancut yang hanya lebih kurang 100 meter dari tempatnya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bank di sana.

“Saya tak boleh terima dan curiga dengan punca kematian Sivanu yang dikatakan mati lemas kira-kira jam 1.20 petang kerana saya diberitahu kawasan air pancut itu hanya paras lutut dewasa,” katanya pada sidang media di Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas, di sini, semalam.

Sivarajoo berkata, beberapa hari sebelum ditemui mati, Sivanu pulang ke pangkuan keluarga, tetapi kelihatan seperti sedang menghadapi masalah kerana enggan ke tempat kerja.

Menurutnya, Sivanu dikenali sebagai anak yang bertanggungjawab dan tidak pernah menimbulkan masalah atau bergaul dengan kumpulan samseng.

“Biasanya dia seorang yang ceria, tapi dia pulang hari tu kelihatan agak pendiam seperti sedang menghadapi masalah.

“Bila kami tanya dia kata tak ada masalah cuma keletihan dengan kerja yang terpaksa dibuat sendirian sehingga dia nekad ponteng kerja selama tiga hari.

“Bagaimanapun dalam keadaan terpaksa dia akur ke tempat kerja dan pada pagi Khamis saya menghantarnya ke stesen bas Masai untuk ke Singapura,” katanya.

Katanya, penyelia yang juga menjadi kakak angkat anaknya ada memberitahu Sivanu sempat memaklumkannya hendak pulang ke Pasir Gudang dan memintanya supaya tidak bersedih sekiranya dia meninggal dunia.

“Saya tak berpuas hati dengan punca kematian yang diberitahu, sebaliknya saya mahu penjelasan terperinci berhubung kematian anak saya itu.

“Maklumat yang diberitahu kandungan darah anak saya tak ada alkohol, dadah dan mayat ditemui tanpa sebarang kecederaan belum cukup memuaskan hati kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Penyelia PAR Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan memenuhi permintaan keluarga mangsa untuk menyediakan peguam bagi mengetahui punca sebenar kematian anaknya.

“Kita akan sediakan peguam untuk menghantar surat kepada pihak polis Singapura menuntut penjelasan berhubung punca sebenar kematian mangsa,” katanya.

No comments:

Post a Comment