Dec 4, 2010

Ketuanan Melayu wan Azizah memukul tepat pada sasaran

Bahagian Pertama-Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail memukul tepat sasaran "kelemahan" Umno apabila beliau mengibaratkan konsep ‘Ketuanan Melayu’ sebagai ideologi songsang, yang menjadi tempat penggantungan Umno sejak bertahun-tahun lamanya.



Ketika menyampaikan ucapannya pada Kongres Tahunan parti 27 November lalu, beliau berkata, konsep ‘Ketuanan Melayu’ digunakan oleh golongan elitis Melayu untuk memperdaya orang-orang Melayu bagi mengekalkan kuasa politik mereka.



Namun hasilnya, majoriti orang-orang Melayu dan Bumiputera tetap miskin dan hidup seperti ‘melukut ditepi gantang’ walaupun Umno memerintah lebih 53 tahun.



Menyeru orang-orang Melayu supaya membuang jauh-jauh ideologi itu, beliau berkata, konsep "Ketuanan Melayu" hendaklah ditinggalkan supaya anak-anak kita membesar dengan visi saling hormat menghormati di antara kaum.



Mengikut standard demokrasi, seruan Wan Azizah untuk membuang faham perkauman harus dipuji sejajar dengan nilai fundamental yang diterima oleh setiap masyarakat di dunia ini.



Meskipun Malaysia terlepas dari kutukan dunia seperti mana yang dialami oleh dasar apartheid Afrika Selatan, suatu ketika dahulu, namun penyakit rasis masih kekal sebagai satu wabak yang menghancurkan integrasi nasional dan membantut perkembangan ekonomi.



Ketuanan Melayu tak dapat dipertahankan



Mungkin atas kesedaran bahawa ‘Ketuanan Melayu’ tidak dapat dipertahankan di mata dunia maka Umno kelihatan kehilangan punca bagaimana untuk respon terhadap asakan tanpa duga daripada Wan Azizah.



Untuk mendiamkan diri bermakna membenarkan kata-kata Wan Azizah dan ini boleh membawa padah dan masalah besar kerana melalui hasutan rasis sebeginilah Umno berharap dapat merentangi halangan pilihan raya umum akan datang. Jadi, bagaimana mungkin Umno dapat membebaskan diri dari mendokong konsep ‘Ketuanan Melayu’?.



Di samping itu, selagi Umno terus mempertahankan ideologi lapuk ini bermakna menarik kritikan dan penghinaan dari dunia luar. Ini tidak dapat dielak, memandangkan penggunaan peralatan komunikasi moden yang mampu membawa berita dan maklumat dengan sekelip mata maka kritikan dari masyarakat antarabangsa sukar untuk dibendung.



Jadi, selepas pulih dari kejutan yang dibuat oleh Wan Azizah, respon mula mencurah datang daripada para pemimpin tertinggi Umno tetapi alasan yang diberi sama ada tidak relevan atau mereka cuba mengelak dari menyentuh isu sebenar dan malah tidak ada yang berani berdepan dengan Wan Azizah.



Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan tegas daripada Wan Azizah itu sebagai langkah "menyelamatkan kapal yang sedang tenggelam" dan mengembalikan sokongan orang ramai selepas pepecahan dalam pemilihan parti PKR.



Menteri Pertahanan dan Naib Presiden Umno Zahid Hamidi pula berkata Wan Azizah "cuba mengalihkan perhatian rakyat dari masalah serius dalam partinya."



Beliau berkata PKR mahu mengambil hati masyarakat Cina dan India bagi mendapatkan sokongan mereka pada pilihan raya umum akan datang. Sekali lagi, beliau mengelak dari menyentuh isu ‘Ketuanan’.



Kerja kotor Perkasa



Seperti yang dijangka, kerja kotor ini dilemparkan kepada sayap ultra rasis Umno, Perkasa untuk menjawabnya. Ketua Pemudanya Arman Azha Abu Hanifah menyerang Wan Azizah dengan menyifatkan beliau sebagai "pelacur politik."



Beliau berkata beliau (Wan Azizah) dan pemimpin Melayu PKR yang lain terhutang budi kepada dasar ‘Ketuanan Melayu’ atas pencapaian profesional mereka dan sekarang ini mereka telah mengkhianati bangsa Melayu semata-mata untuk mendapatkan sokongan orang Cina dan India.



Lebih menarik, sikap kurang ajar dan tidak sensitif yang diperlihatkan Arman dengan menghentam para pemimpin Melayu yang lain menjustifikasikan seruan Wan Azizah untuk menolak mentaliti ‘Ketuanan Melayu’ bagi memulih semula penghormatan dan harga diri bangsanya.



Kenyataan beliau menyifatkan Wan Azizah sebagai "pelacur" merupakan satu penghinaan terhadap bangsanya sendiri.



Kenyataan beliau bahawa orang-orang Melayu tidak mampu mencapai kemajuan tanpa mendapat layanan istimewa disebabkan bangsa merupakan satu lagi penghinaan terhadap bangsanya sendiri. - sumber

No comments:

Post a Comment