• Ah wa menunjukkan keadaan peti sejuk miliknya yang telah rosak akibat insiden berkenaan Ah wa menunjukkan keadaan peti sejuk miliknya yang telah rosak akibat insiden berkenaan
JOHOR BAHRU - Lebih 15 keluarga di Jalan Sri Gunung, Taman Gunung Emas, Ulu Tiram, di sini berdepan detik cemas apabila semua barangan elektrik berfungsi di luar kawalan sebelum terdengar letupan dan terbakar.

Wakil penduduk, Chian Ah Wa, 61, berkata, kejadian disedari berlaku sekitar jam 6 pagi Sabtu lalu apabila lampu di rumahnya secara tiba-tiba berkelip berserta kipas siling yang berpusing terlalu laju.

Menurutnya, dia bergegas menutup suis utama apabila secara tiba-tiba terdengar seperti letupan kecil dan terlalu takut mengancam keselamatannya.

“Saya sangat takut apabila melihat keadaan kipas berputar terlalu laju berserta letupan kecil pada barangan elektrik di dalam rumah.

“Selepas dibaik pulih oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), saya dapati pagar automatik, peti sejuk yang baharu dibeli, mesin basuh dan lampu rosak sehingga mengalami kerugian hampir RM10,000,” katanya pada sidang media bersama Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Johor, Syed Othman Syed Abdullah, di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Wong Lit Chong, 33, berkata, pihak TNB yang dihubungi telah datang membaik pulih sekitar jam 9.30 pagi dan memaklumkan kejadian itu berlaku akibat kabel yang bertindih menyebabkan arus aliran elektrik berlebihan.

Menurutnya, penduduk tidak berpuas hati apabila banyak barangan elektrik mengalami kerosakan dan mendakwa tuntutan yang dibuat terhadap TNB tidak dilayan.

“Kami tak puas hati apabila TNB enggan bertanggungjawab, sedangkan kami mengalami kerugian tanpa kesalahan kami.

“Saya sendiri rugi lebih RM5,000 apabila peti sejuk, mesin basuh, penyaman udara, lampu dan mini compo rosak akibat insiden berkenaan.

“Saya mohon jasa baik pihak TNB bertanggungjawab kerana ini bukan salah kami,” katanya.

Sementara itu, Syed Othman berkata, pihaknya telah menghubungi pihak TNB dan meminta penduduk terlibat mengemukakan surat tuntutan berserta laporan polis dan resit pembelian barangan elektrik yang rosak serta gambar barangan yang mengalami kerosakan.

Menurutnya, pihaknya akan melihat maklum balas pihak TNB dalam tempoh sebulan daripada penghantaran dokumen tuntutan daripada penduduk.

“Sekiranya pihak TNB tidak memberi maklum balas dalam tempoh sebulan, kita akan panjangkan kes itu kepada pihak Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

“TNB perlu bertanggungjawab kerana penduduk berdepan kerugian besar yang secara jelas berpunca daripada kesalahan pihak TNB,” katanya.