Nov 6, 2014

Terkilan sukar penuhi permintaan anak




Syed Othman (kiri) memberi kata-kata semangat kepada Ahmad Idham ketika melakukan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan, semalam.
JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal di Kampung Melayu Pandan, di sini, terkilan kerana sukar memenuhi permintaan anak-anaknya kerana berdepan kesempitan hidup selepas berpisah dengan suami lebih empat tahun lalu.

Azizah Md Razali, 32, berkata, dua anaknya kerap minta dibelikan telefon bimbit dan basikal.

Menurutnya, kehidupan mereka lima beranak hanya bergantung harap kepada nafkah pemberian bekas suami sebanyak RM600 sebulan dan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400.

“Kadang-kadang saya marah juga apabila mereka kerap minta belikan telefon bimbit dan basikal seperti rakan-rakan yang lain.

“Tapi nak pukul tak sampai hati pula kerana mereka masih belum tidak faham kesempitan hidup saya besarkan mereka tanpa ayah,” katanya kepada Sinar Harian yang melakukan lawatan bersama Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Negeri, Syed Othman Syed Abdullah, di sini, semalam.

Azizah berkata, tahap kesihatan yang kurang stabil kerana menghadapi masalah kemurungan dan tekanan sejak lebih tiga tahun lalu sering mengganggu konsentrasinya pada kerja sehingga dibuang kerja kerana kerap pengsan.

Menurutnya, perancangannya ada untuk menjalankan perniagaan menjual burger berhampiran kediamannya bagi mencari punca pendapatan, namun terhalang kerana berdepan masalah modal.

“Kalau sihat saya memang nak kerja, tapi tak tahu bila kerana hidup saya terpaksa bergantung pada ubat dan setiap dua bulan sekali saya perlu membuat pemeriksaan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Kalau ada peluang dan modal saya nak berniaga burger untuk tambah pendapatan kerana RM1,000 sebulan masih tak cukup untuk menampung perbelanjaan dan persekolahan empat anak,” katanya.

Azizah mengakui pernah terputus bekalan makanan sebelum ini kerana terpaksa membeli lauk dari kedai memandangkan hanya memiliki periuk nasi elektrik tanpa dapur gas.

Menurutnya, ibu yang menjadi tempat bergantung harap juga seorang ibu tunggal dan mengharapkan bantuan anak-anak dan saudara-mara.

“Nasib baik saya ada mak dan kawan-kawan yang banyak membantu.

“Saya ucap terima kasih kepada Kumpulan Amal yang beri sumbangan dapur gas dan  raknya sehingga memudahkan saya menyediakan makanan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Syed Othman berkata, pihaknya akan menghantar bantuan barangan keperluan secara bulanan selama tiga bulan pertama kepada keluarga tersebut.

“Kita akan bantuan dari segi barangan keperluan selama tiga bulan pertama, tapi apabila Azizah sudah bekerja kita akan hentikan.

“Kita akan pantau keluarga ini dari semasa ke semasa kerana mengutamakan anak-anak yang masih sekolah,” katanya.

No comments:

Post a Comment