1 / 1
JOHOR BAHRU - Seramai 200 peniaga Pasar Larkin Sentral di sini, mendakwa laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu Singapura, berkaitan perniagaan di kawasan itu terjejas teruk selepas kenaikan kadar tol di Tambak Johor menimbulkan rasa tidak berpuas hati dalam kalangan mereka.

Laporan yang disiarkan pada 16 November lalu bertajuk ‘Peniaga JB Ngadu’ itu mendakwa selepas kadar tol dinaikkan menyebabkan perniagaan di beberapa kawasan tumpuan warga republik itu termasuk di kawasan B@Point dan Pandan terjejas.

Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Melayu Pasar Larkin Sentral, Abdullah Ideris berkata, laporan kurang tepat itu telah mendatangkan kesan negatif kepada peniaga apabila perniagaan mula terjejas hampir 30 peratus.

Menurutnya, berdasarkan kajian yang dijalankan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), seramai 9,987 pengunjung setiap hari masih datang ke Pasar Larkin Sentral.

“Laporan yang disiarkan akhbar itu kurang tepat, kerana kawasan ini masih dibanjiri pengunjung dan semakin bertambah sejak kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (RM).

“Macam mana laporan itu mengatakan kawasan ini lengang? Sedangkan pengunjung kami masih ramai, malah boleh dikatakan 26 peratus terdiri daripada warga Singapura,” katanya pada sidang media bersama Pusat Aduan Rakyat (PAR) Negeri, di sini, semalam.

Sementara itu, Penyelia PAR negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada wartawan yang menulis laporan itu, Khamis lalu, dan satu perjumpaan bakal diadakan pada 23 Disember ini.

Menurutnya, peniaga sebenarnya bimbang laporan kurang tepat berkenaan boleh mengundang salah anggap pengunjung sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka.

“Mereka bimbang pengunjung Singapura merajuk kerana menyangka kawasan itu tidak lagi menjadi tumpuan.

“Pada perjumpaan bersama wartawan akhbar berkenaan, kita akan menyatakan situasi sebenar dan meminta pihak akhbar terbabit mengeluarkan satu laporan tepat bagi menangkis dakwaan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga air, Tan Han Hon, 32, berkata, laporan itu telah menyebabkan perniagaannya merosot 20 peratus kerana pengunjung menganggap kawasan itu tidak lagi popular.

Menurutnya, ia sedikit sebanyak memberi gambaran negatif Pasar Larkin Sentral sehingga ada yang menganggap kawasan ini tidak lagi dikunjungi.

Peniaga kasut, Hamizan Idris, 39, berkata, sepanjang 20 tahun menjalankan perniagaan di Pasar Larkin Sentral tidak pernah beliau menyaksikan kawasan itu lengang.

“Saya terkejut dengan laporan akhbar ini kerana setiap hari ada sahaja pengunjung Singapura ke sini,” katanya.