Jul 31, 2012

Trauma angkara ah long


AZIZAN INCHE HARUN
31 Julai 2012
Trauma angkara ah long
Ain ketika hadir ke PAR untuk mendapatkan bantuan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.
PASIR GUDANG - “Saya menyesal dan bertaubat. Walaupun saya tahu ah long bahaya, tetapi masa itu saya buntu sehingga tak mampu nak fikir panjang untuk mencari duit membayar hutang kad kredit,” kata seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Ain.

Dia yang berumur lewat 30-an berkata, segalanya bermula ketika dikunjungi pihak bank hujung tahun lepas yang menuntut bayaran kad kredit sebagai modal perniagaan jualan langsung berjumlah RM5,000.

Menurutnya, dalam kekusutan mencari jalan penyelesaian, seorang rakan memperkenalkannya kepada seorang lelaki yang dikatakan boleh membantu memberinya pinjaman wang.

“Saya takut selepas pihak bank kata kena ke mahkamah kalau masih tak dapat bayar sehingga saya tak fikir panjang meminjam dari lelaki berkenaan sebanyak RM1,000, tetapi hanya dapat RM600 sahaja.

“Saya hanya nak ubah hidup keluarga dengan memulakan perniagaan, tapi tak sangka telah memerangkap saya dalam keadaan bahaya begini,” katanya yang ditemui Sinar Harian di
Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas, di sini, semalam.

Ain berkata, tekanan dan ugutan yang diterima memaksanya membuat pinjaman kepada sembilan ah long untuk menyelesaikan pinjaman yang dibuat awal dahulu.

“Walaupun sudah lebih RM5,000 bayaran yang telah saya buat, tetapi hutang itu masih berjumlah RM8,000 tanpa dicampur dengan bunga yang dikenakan.

“Saya malu hendak berdepan dengan jiran dan saudara-mara kerana banyak juga duit ahli keluarga yang saya pinjam sebagai usaha untuk melangsaikan hutang ah long,” katanya.

Katanya, hidupnya bersama suami dan anak-anak dalam ketakutan dan terancam selepas menerima panggilan dan sistem pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan.

“Saya mengaku memang salah saya kerana tidak memberitahu suami meminjam duit ah long dulu sehingga kami sekeluarga terpaksa hidup dalam ketakutan.

“Selain pernah dibaling pasu bunga ke dalam pagar rumah. Saya juga pernah dikepung ketika keluar ke sebuah pasar raya, tapi umur saya masih panjang kerana helah saya untuk ke tandas berjaya melarikan diri,” katanya.

Ain berkata, dia dan anaknya lebih banyak berkurung di dalam rumah kerana trauma untuk keluar rumah, malah ke sekolah terpaksa keluar melalui pintu belakang.

“Saya sebak bila anak bongsu saya berjanji akan mencari duit raya banyak-banyak untuk membantu membayar duit ah long,” katanya yang telah membuat laporan polis pada Mei lepas.

Katanya, dia berharap ada pihak yang sudi tampil untuk membantu menyelesaikan hutang itu melalui pinjaman wang agar sinar kebahagiaan hidupnya sekeluarga dapat kembali lagi.

Sementara itu, Penyelia PAR Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, selain menghulurkan bantuan barangan keperluan, pihaknya sedang mencari dana untuk membantu menyelesaikan pinjaman itu.

“Apabila sudah dapat dana nanti, kita akan cuba buat perbincangan dengan ah long untuk membantu mangsa keluar dari permasalahan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment