Jul 21, 2012

MANA BAKI RM 1000 KAMI KERAJAAN NEGERI BN JOHOR TOLONG JAWAB

JOHOR BAHRU – Kira-kira 300 penduduk flat Taman Sri Stulang mengadakan demonstrasi aman di sini, semalam sebagai tanda protes bagi menuntut baki pampasan dari pihak Kerajaan Negeri yang sepatutnya diagihkan empat tahun lalu.


Salah seorang penduduk, Azhan Taib, 54 berkata, Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sebelum ini telah bersetuju membayar pampasan sebanyak RM2,000 kepada kira-kira 1,200 bekas penduduk flat Bukit Cagar.

Katanya, penduduk sebulat suara bersetuju untuk menerima pampasan berkenaan sebagai wang ihsan kepada mereka bagi urusan perpindahan dari flat Bukit Cagar ke flat Taman Sri Stulang pada awal tahun 2008.

Bagaimanapun Azhan berkata, penduduk hanya menerima bayaran sebanyak RM1,000 pada Februari 2008 manakala baki RM1,000 seperti yang dijanjikan masih tidak diagihkan oleh Kerajaan Negeri.

“Pada asalnya kami menuntut pampasan sebanyak RM5,000 dari pihak kerajaan namun setelah proses perbincangan dijalankan, kami bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk memberi pampasan sebanyak RM2,000.

“Namun kami kesal, kerana setelah berpindah ke flat Taman Sri Stulang penduduk hanya dibayar sebanyak RM1,000 sahaja,” katanya.

Katanya, pelbagai tindakan telah dilakukan termasuk merujuk perkara berkenaan kepada Menteri Besar dengan bantuan wakil rakyat setempat namun masih tiada jalan penyelesaian diambil.

“Baru-baru ini pada bulan Mei lalu, pihak UPEN telah mengeluarkan surat yang mengarahkan agar perkara yang dibangkitkan mendapat perhatian segera.

“Namun sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan berlaku dan kami masih tertunggu-tunggu baki pampasan yang belum dibayar,” katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau berharap masalah yang dihadapi penduduk berhubung baki bayaran pampasan berkenaan mendapat perhatian serius dari pihak kerajaan dan diselesaikan dalam kadar segera.

“Kami bukan mahu timbulkan masalah tetapi sekadar mahu menuntut hak kami. “Kami berharap agar pihak kerajaan bersikap prihatin terhadap nasib rakyat yang mengalami masalah kewangan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Aduan Rakyat Negeri Johor, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya bersama penduduk akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri sekiranya masalah berkenaan masih tidak selesai dalam tempoh 14 hari

No comments:

Post a Comment