Kompresor jadi sasaran pencuri
Wakil peniaga, Yong Fook Leong berkata, masalah itu berlarutan sejak 10 tahun lalu sehingga peniaga sudah hilang sabar apabila terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit.
Menurutnya, pelbagai inisiatif dilakukan termasuk mengambil pengawal keselamatan, tetapi masih belum membuahkan hasil apabila kecurian semakin kerap berlaku.
“Sudah tiga kali kompresor penyaman udara kedai saya dicuri sehingga saya terpaksa menanggung kerugian hampir RM10,000 kerana harga kompresor terpakai pun mencecah sehingga RM2,000.
“Sebelum ini kita ada mengambil pengawal keselamatan yang dibayar secara kongsi-kongsi antara peniaga di kawasan ini, tetapi ia tidak bertahan lama apabila peniaga tidak bersatu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, Jumaat lalu.
Katanya, masalah itu pernah beberapa kali dimaklumkan kepada pihak polis, tetapi belum ada sebarang laporan polis yang dibuat oleh peniaga yang menjadi mangsa.
“Kami akui ada anggota polis yang membuat rondaan di kawasan ini, tetapi kami sudah tidak tahan terpaksa menanggung kos yang tinggi gara-gara tindakan pihak tidak bertanggungjawab.
“Walaupun pelbagai langkah keselamatan diambil termasuk memasang besi dan kawat berduri sekeliling penyaman udara, tetapi kami masih perlu berjaga-jaga dengan kemungkinan dicuri pencuri,” katanya.
Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat daripada pengadu sekitar Plentong, Seri Alam dan Masai.
Menurutnya, PAR merancang untuk membuat sesi dialog antara peniaga yang terlibat dengan pihak polis dalam masa terdekat kerana masalah itu dilihat semakin serius.
“Kita galakkan peniaga yang menjadi mangsa supaya tampil membuat laporan polis agar akan ada tindakan membuat rondaan dan sebagainya daripada pihak polis.
“Kita akan mohon kerjasama daripada pihak polis agar membuat peningkatan dari segi kawalan keselamatan kerana peniaga di kawasan ini sudah semakin resah ekoran kerap kehilangan kompresor penyaman udara,” katanya.
No comments:
Post a Comment