Pelawak, pengacara dan
penulis lirik terkenal, Bob Lokman hairan dengan tindakan Jabatan Agama
Islam Selangor (Jais) sambil mendakwa beliau ditahan malam tadi bukan
kerana isu agama tetapi “untuk Umno.”
Sehubungan itu, beliau juga mempersoalkan mengapa Jais menahan beliau
setelah menjadi baik sekarang, tetapi tidak ketika dia sedang
bergelumang dalam arus keduniaan sewaktu berada dalam dunia hiburan
dulu.
Pada 19 Februari lalu, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman menyerahkan borang menjadi ahli PAS.
Beliau menyerahkan borang itu kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk
Seri Azizan Razak yang juga Menteri Besar Kedah pada majlis Himpunan
30,000 Pemuda PAS di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Alor Setar.
Bob Lokman merupakan penulis lirik lagu terkenal Isabela nyanyian Amy Search.
Bob Lokman dan ustaz yang ditahan malam tadi dilepaskan selepas dibawa ke balai polis tetapi disoal siasat Jais hari ini.
Tindakan Jais itu disifatkan oleh beliau seolah-olah mahu menyekatnya
supaya tidak menjadi baik, sebaliknya untuk mendorongnya agar terus
hanyut dalam arus keduniaan seperti masa lalu.
Menurut Bob Lokman, walau apa pun halangan yang menimpa, beliau tidak
akan berganjak dengan pendiriannya sekarang untuk lebih mendekatkan
diri kepada Allah dan terus meninggalkan kehidupan glamour serta penuh
kelalaian.
Sehubungan itu, Bob Lokman berkata beliau akan terus melakukan
kerja-kerja dakwah dengan mendekati pelbagai golongan dalam masyarakat
termasuk para penagih dadah untuk mengajak mereka kembali ke jalan
Allah.
Kata Bob Lokman, sekiranya terdapat undangan daripada pelbagai pihak
untuk menyampaikan ceramah, beliau juga bersedia memenuhi undangan itu
sekadar terdaya untuk menyampaikan mesej Islam, di samping tidak mahu
menghampakan pihak terbabit.
“Saya tidak kira soal larangan dari Jais atau sebarang pihak untuk
saya berceramah. Jika larangan itu bukanlah yang patut saya ikut, saya
tak akan ikut,” katanya dipetik Harakahdaily.
Begitu juga dengan sekatan yang dikenakan oleh Jabatan Agama Islam ke
atas beliau untuk menyampaikan ceramah disebabkan tidak mempunyai
tauliah, perkara itu juga tidak berbangkit dalam kehidupannya.
“Tauliah itu bukanlah satu perkara yang penting. Perkara yang penting
bagi saya adalah melakukan pekerjaan yang baik iaitu kerja-kerja Islam.
“Jadi, kenapa mesti ada sekatan ke atas saya dan kenapa pula saya
mesti patuhi sekatan-sekatan itu sedangkan yang saya sampaikan kepada
orang ramai itu adalah perkara yang betul,” katanya.
Bob Lokman ditahan oleh Jais malam tadi kerana dipercayai atas alasan
menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah setelah beliau selesai berucap
ketika solat Maghrib di hadapan kira-kira 70 jemaah di Masjid Kampung
Sungai Lui, Hulu Langat.
Selepas ditahan beliau dibawa ke Balai Polis Batu 18 Hulu Langat dan dilepaskan kemudiannya.
Bob Lokman juga diminta hadir di Pejabat Agama Daerah Hulu Langat sebelum tengah hari ini bagi memberikan kenyataan.
Selain beliau, Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd
Sany Hamzan bagi pihak penganjur majlis ceramah itu diminta hadir di
pejabat agama tersebut bagi memberikan kenyataan.
Mengulas perkara itu, Bob Lokman yang juga cucu ulama terkenal
Kelantan, Tok Kenali mengesahkan penahanannya malam tadi dan turut
menegaskan tidak hadir ke Pejabat Agama Daerah Hulu Langat seperti yang
diarahkan itu.
Baginya, menghadirkan diri ke pejabat agama tersebut seperti yang
diarahkan itu merupakan satu tindakan tidak perlu, malah hanya membuang
masa dan wang.
“Saya juga tidak merasakan perlu mematuhi arahan itu kerana pada saya
mereka yang melakukan tangkapan ke atas saya itu bukan melakukan kerja
untuk agama, tetapi untuk Umno,” katanya.
Sebelum ditahan dan dibawa ke balai polis, menurutnya, beliau telah
bertanyakan beberapa soalan kepada Kadi Hulu Langat tetapi soalan-soalan
tersebut tidak dapat dijawab.
“Mereka yang datang untuk menangkap saya itu juga mengakui saya tidak
menyampaikan perkara yang salah dalam ceramah saya tetapi hanya kerana
tanpa tauliah.
“Pada saya, apa yang dilakukan ke atas saya itu jelas arahan politik.
Jadi tak perlulah saya ikut arahan mereka itu, malah pada saya mereka
bukanlah orang yang wajar saya hormati,” katanya.
Beliau secara tegas menjelaskan, mereka yang melakukan tangkapan dan
mengenakan sebarang larangan terhadap seseorang yang melakukan pekerjaan
baik untuk Islam bukanlah pihak yang wajar dihormati.
Menyentuh tentang tauliah untuk menyampaikan ceramah, beliau juga
menegaskan tidak perlu baginya untuk mendapatkan tauliah tersebut kerana
tindakan itu juga jelas mempunyai kaitan dengan permainan politik Umno
BN.
“Amat pelik dengan apa yang dilakukan ke atas saya. Saya ditangkap
setelah saya selesai menyampaikan ceramah. Pada hal jika mereka tak mahu
saya berceramah di masjid itu, mereka sepatutnya menangkap saya sebelum
berceramah.
“Saya pula hadir ke majlis itu atas undangan. Kalau saya dilarang
berceramah sebelum saya masuk ke masjid oleh pihak Jais, saya tak akan
berceramah.
“Jadi, ini amat jelas tangkapan atas arahan politik Umno BN, bukannya
tangkapan kerana kerja-kerja Islam, manakala saya pula melakukan
kerja-kerja Islam, jadi tak perlulah saya ikuti arahan mereka itu,”
tegas beliau.
- Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment