Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas mengambil inisiatif mengumpulkan keseluruhan 11 kanak-kanak yang mengalami masalah surat beranak daripada aduan yang dikemukakan kepada pihak mereka sebelum ini.
Penyelianya, Syed Othman Syed Abdullah berkata, keseluruhan 11 kanak-kanak daripada empat keluarga dari Taman Cendana itu sebelum ini pernah membuat aduan kepada PAR kerana anak-anak tidak dapat bersekolah.
Menurutnya, bimbang dengan masa depan kanak-kanak yang sepatutnya mendapat pelajaran yang sempurna, pihaknya berusaha mengumpul keseluruhan yang terlibat bagi membantu mencari jalan penyelesaian.
“Kita dapati keseluruhannya mempunyai dokumen lengkap dan kita sudah panjangkan masalah itu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pasir Gudang yang mana mereka bersetuju untuk mengadakan perbincangan bersama.
“Kita berharap ada pertimbangan dalam perkara ini kerana ada dalam kalangan ibu bapa yang takut untuk ke JPN kerana risau tidak mendapat kerjasama baik,” katanya.
Syed Othman berkata, tiga kategori yang dikenal pasti menjadi punca ibu bapa gagal mendapatkan surat beranak anak-anak antaranya status dokumen tertinggal di Sabah atau Sarawak.
Menurutnya, masalah juga timbul apabila anak tidak sah taraf dan perkahwinan campur antara warga tempatan dan warga asing, sedangkan anak dilahirkan di sini.
“Kita akan berusaha membawa kanak-kanak itu secara berperingkat-peringkat ke JPN dengan harapan dapat membantu mereka terutama dalam mendapatkan pendidikan.
“Kita tidak mahu kerana kesilapan ibu bapa, anak-anak yang menjadi mangsa sehingga tercicir dalam pelajaran dalam usia yang sepatutnya berada dibangku sekolah,” katanya.
No comments:
Post a Comment