Apr 23, 2010

Zaid diserang kerana menentang penyelewengan BN

FMT: Ahli Parlimen Batu Tian Chua menyifatkan serangan bertubi-tubi dari Barisan Nasional (BN) terhadap peribadi Datuk Zaid Ibrahim adalah kerana beliau berani bangun menentang penyelewengan BN demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, Datuk Zaid sanggup meletak jawatan sebagai menteri semata-mata kerana beliau melihat BN keterlaluan dalam penyelewengan duit rakyat yang diberikan kepada kroni masing-masing.

Tian Chua yang juga Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat berkata, “Saya berterima kasih kepada Datuk Zaid kerana beliau sanggup bersama-sama mengharungi pelbagai halangan hanya untuk menegakkan keadilan.

“Serangan yang diterima Zaid adalah keterlaluan dan BN sengaja menyebarkan fitnah berikutan beliau merupakan saingan hebat yang mampu mengalahkan mereka (BN),” katanya.

Beliau yang berucap pada perjumpaan bersama rakyat dekat sini semalam berkata, kekuatan Datuk Zaid dan Pakatan Rakyat (PR) adalah hasil sokongan dari semua lapisan masyarakat yang mengetahui ketulusan dan dasar perjuangan PR.

“Rakyat memberi kepercayaan pada PR untuk meraih kemenangan kerana mampu membuat perubahan. “Saya meminta agar orang Hulu Selangor mengundi Datuk Zaid kerana
beliau akan menjadi wakil penduduk untuk melakukan perubahan melalui sokongan daripada kerajaan negeri kelak.

Tambahan beliau, rakyat Hulu Selangor tidak perlu termakan rasuah habuan yang diberikan oleh BN kerana itu semua hanyalah sementara dan segala janji manis yang ditaburkan akan diabaikan setelah BN mencapai kemenangan. Tian berkata, Datuk Zaid bersedia membela rakyat yang telah sekian lama diabaikan dan beliau akan menjalankan tugas yang terbaik dan mengembalikan hak serta keadilan kepada rakyat.

“Datuk Zaid adalah pejuang untuk rakyat dan P. Kamalanathan hanyalah pejuang mengikut telunjuk pemimpin BN yang tidak mampu memberi jaminan pada rakyat,” jelasnya ketika bersama beberapa pemimpin PR.

No comments:

Post a Comment