- Syed Othman membantu Koon Seong dan anak lelakinya mengangkat barang.
Tinjauan Sinar Harian ke lokasi, semalam mendapati empat kediaman terbabit bukan sahaja berbau busuk, malah lantai di setiap penjuru rumah digenangi air berwarna hitam.
Limpahan air kumbahan dan najis yang didakwa berpunca daripada saliran kumbahan bawah tanah tersumbat itu menyebabkan keluarga terlibat menanggung kerugian berikutan kerosakan harta benda.
Ibu tunggal yang bekerja sebagai penjual bunga di Singapura, Yap Koon Seong, 46, berkata, kejadian disedari apabila jiran hubungi anak perempuannya, Pang Xin Zhi Ingrid jam 7 petang kelmarin.
“Jiran hubungi anak perempuan dan menyuruh kami pulang kerana rumah digenangi air berbau busuk. Bagaimanapun, saya hanya dapat pulang sekitar jam 10 malam kerana faktor jarak tempat kerja.
“Sebaik tiba di rumah, saya hanya sempat menyelamatkan beberapa perabot dan perkakas elektrik. Peralatan dan perhiasan dalaman rumah lain sudah rosak kerana air najis,” katanya ditemui selepas kunjungan Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, Syed Othman Syed Abdullah.
Koon Seong berkata, dia bersama anak perempuan dan anak lelakinya, Pang Xin Wei Eden, 18, terpaksa bermalam di rumah ibunya kerana tidak selesa dengan keadaan kediaman mereka.
Bagi Chin Kok Aun, 41, dia terpaksa bergilir-gilir berjaga dengan teman serumahnya kerana bimbang air kumbahan melimpahi keseluruhan kediaman tanpa disedari.
“Apabila waktu puncak seperti jam 8 malam dan 7 pagi, dengar bunyi kuat, kemudian air melimpah dari salur kumbahan seperti di tandas, seterusnya bergenang di lantai rumah.
“Saya harap masalah ini mendapat perhatian segera pihak berwajib. Punca masalah perlu diselesaikan supaya saya dan tiga jiran lain tidak berdepan masalah sama akan datang," katanya.
Kejadian sama turut dialami Pua Siwe Bee, 37, yang memberitahu, dia segera menghubungi pihak berwajib apabila menyedari air kumbahan terus melimpah ke dalam rumah.
Katanya, dia bertindak meletakkan pasir di dalam plastik untuk dijadikan benteng bagi mengelak air kumbahan dan najis melimpah memasuki bilik tidur serta ruang tamu.
“Ketika pulang ke rumah jam 6 petang, saya lihat bahagian tandas dan dapur rumah sudah dinaiki air busuk. Pada mulanya saya mengambil tong dan membuang air kumbahan ini, tetapi ia tidak berkesudahan.
“Kemudian saya mengambil pasir yang diletak dalam plastik untuk dijadikan benteng, memastikan air tidak melimpahi ke kawasan lain. Lubang kecil yang menyebabkan air melimpah juga saya tutup dengan benda berat,” katanya.
Sementara itu, Syed Othman ketika ditemui menggesa, pemilik kediaman terjejas membuat laporan polis berhubung perkara itu bagi membolehkan sebarang tuntutan susulan dibuat kerana kerugian dialami.
“Saya juga telah menghubungi pihak Unit Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi membawa aduan ini.
"Jika tiada sebarang tindakan daripada pihak berwajib, masalah ini akan dibawa kepada Biro Pengaduan Awam untuk langkah seterusnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment