Mar 4, 2014

HUJAN HABUK GANGGU PENDUDUK

KENYATAAN MEDIA ISU HABUK


  • Syed Othman meninjau keadaan kenderaan rumah penduduk yang diselaputi habuk.

'Hujan habuk' ganggu penduduk 
PASIR GUDANG – Penduduk di Jalan Kempas Taman Megah Ria, di sini kehidupan mereka terjejas akibat habuk yang didakwa berpunca daripada lori yang berulang-alik ke projek pembinaan berhampiran sejak lima bulan lalu.

Faridah Zakaria, 54, berkata, masalah itu berlarutan sejak Oktober tahun lalu dan semakin serius khususnya dalam keadaan kemarau yang sedang melanda.

Menurutnya, kediaman yang dihuni sejak 18 tahun lalu mula berasa tidak selamat dan selesa apabila terpaksa berkurung di dalam rumah serta banyak menghabiskan masa membersihkan kenderaan dan halaman rumah.

“Sudah menjadi rutin setiap hari saya terpaksa membersihkan halaman rumah dan kenderaan kerana tidak sanggup melihat habuk melekat pada cermin tingkap dan kereta yang diletakkan di halaman rumah.

“Anak-anak kerap mengadu sakit tekak dan gatal-gatal pada badan, malah baju yang dipakai juga menjadi tidak selesa kerana banyak habuk yang melekat pada pakaian yang dijemur di halaman rumah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Norhaini A Razak, 41, berkata, masalah habuk telah meragut kedamaian dan keamanan yang dinikmati penduduk yang menetap di kawasan itu sejak 18 tahun lalu kerana masing-masing banyak menghabiskan masa di dalam rumah.

Menurutnya, aktiviti santai bersama jiran-jiran dan anak-anak di luar rumah pada waktu petang sudah tidak boleh dilakukan sejak Oktober tahun lepas kerana persekitaran yang tidak bersih.

“Anak-anak memprotes kerana tidak dibenarkan bermain di halaman rumah. Saya juga tak benarkan mereka bermain badminton yang menjadi aktiviti mereka setiap petang kerana bimbangkan kesihatan mereka.

“Saya mohon kerjasama pihak bertanggungjawab supaya dapat mengambil tindakan segera untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kerana kami sudah tidak sanggup berdepan dengan hujan habuk yang kami anggap sudah terlalu lama,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, masalah itu sudah dipanjangkan kepada pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) selepas menerima lebih 10 aduan daripada penduduk yang terjejas.

Menurutnya, pihaknya juga sudah mengadakan perjumpaan dengan pemaju Jumaat lepas dan mereka bersetuju untuk memastikan lori dan jalan raya yang digunakan sentiasa bersih untuk mengatasi masalah itu.

“Sekiranya masalah itu masih belum selesai, saya akan ke Biro Pengaduan Awam (BPA) dalam masa terdekat kerana ia membabitkan kesihatan penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam MBJB, Abdul Aziz Ithnin berkata, pihaknya sudah mengeluarkan 22 kompaun yang bernilai keseluruhan RM17,000 kepada pemaju sejak Ogos 2012 hingga Februari lepas atas kesalahan mengotorkan jalan.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pemaju dalam masa terdekat sebagai langkah penyelesaian, selain membawa perkara itu ke mahkamah sekiranya masalah masih berlarutan.

“Kita sentiasa prihatin dengan aduan yang dikemukakan penduduk dan akan pastikan masalah itu dapat diselesaikan segera,” katanya SINAR

No comments:

Post a Comment