- Athikah yang buntu menceritakan kehilangan suaminya sejak Jumaat minggu lalu kepada Syed Othman. Gambar kecil : Abdul Razak
Athikah Abdul Kadir, 30, berkata, suaminya, Abdul Razak Kamarudin, 38, yang tinggal sendirian di Permas Jaya, di sini, sepatutnya pulang ke kampung menjemputnya dan anak-anak di Kedah serta menghadiri majlis perkahwinan adik lelakinya pada Jumaat lalu.
Menurutnya, bagaimanapun Abdul Razak yang dikatakan ke Singapura menaiki kereta Proton Gen-2 berwarna emas dan bernombor pendaftaran JJW 1478 bersama seorang rakannya tidak dapat dikesan sehingga kini.
“Kali terakhir saya berhubung dengan suami sekitar jam 1 pagi Jumaat lalu apabila dia beritahu saya hendak ke Singapura mengambil gajinya sebelum pulang ke kampung di Kedah petang hari yang sama.
“Bagaimanapun, sekitar jam 7 malam, saya hubungi lagi nak tanya dah naik bas ke belum, tapi panggilan tidak berjawab sehinggalah kali terakhir lebih kurang jam 10 malam panggilan sudah masuk ke peti
simpanan suara,” katanya kepada pemberita, kelmarin.
Athikah berkata, abang kepada rakan Abdul Razak yang turut sama hilang ada membuat semakan di Jabatan Imigresen dan mendapati mereka berdua memasuki Singapura sekitar jam 10 pagi Jumaat, namun tiada rekod keluar.
Katanya, majikan Abdul Razak yang dihubungi juga turut mengesahkan suaminya ada datang mengambil gajinya sekitar jam 7 malam pada hari berkenaan bersama seorang rakan.
“Saya sudah buat semakan dengan pihak polis Singapura dan hospital, tapi suami saya tidak ditahan di mana-mana penjara atau wad. Saya ada buat laporan polis di Balai Polis Permas Jaya dan Singapura.
“Saya dah buntu selepas pelbagai usaha dibuat termasuk mengesan kenderaan yang dinaiki suami bersama rakan, tapi tak ada hasil,” katanya.
Beliau berkata, hatinya bertambah sayu apabila tiga anaknya menangis bertanyakan bapanya yang dikatakan berjanji untuk pulang menjemput mereka di kampung.
Athikah memberitahu, sepanjang lapan tahun hidup bersama Abdul Razak, suaminya dikenali sebagai seorang yang baik dan bertanggungjawab serta tidak mempunyai musuh dengan sesiapa.
“Kami juga tak mempunyai masalah kewangan, sebaliknya ramai rakan-rakannya yang meminjam wang dengan dia.
“Saya mohon kerjasama daripada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai suami saya supaya menghubungi saya segera atau lapor di balai polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan membantu mengedar gambar Abdul Razak di sekitar bandar raya ini dan Singapura dalam masa terdekat.
“Kami juga akan bawa keluarga pengadu ke kedutaan Singapura di negara ini untuk mendapatkan bantuan mengesan Abdul Razak Isnin depan” katanya.
A
No comments:
Post a Comment