- Athikah menunjukkan laporan polis yang pernah dibuat di Balai Polis Permas Jaya dan Singapura sebelum ini.
Athikah Abdul Kadir, 30, berkata, suaminya, Abdul Razak Kamarudin, 38, dituduh bersama seorang lagi rakannya menyeludup warga Bangladesh yang ditemui di dalam bonet kereta dipandu ketika berada di laluan keluar Imigresen Singapura.
Menurutnya, walaupun sedih melihat keadaan suami ditahan di penjara, dia bersyukur kerana pencariannya sejak dua minggu lalu berakhir dan ditemui dalam keadaan selamat.
“Saya menangis kerana tidak dapat menahan rasa gembira melihat keadaan suami yang ditemui selamat ketika melawatnya di penjara Singapura tengah hari semalam.
“Dia minta saya jangan risau dan kuatkan semangat menjaga anak-anak kerana katanya dia akan pulang kerana tidak bersalah dan hanya dianiaya,” katanya, semalam.
Athikah mendakwa, ketika kejadian, Abdul Razak menumpang kereta rakannya untuk mengambil gaji dan tidak mengetahui di dalam bonet kereta dipandunya mempunyai seorang lagi penumpang warga asing.
Katanya, sebaik tiba di laluan keluar Imigresen Singapura, kereta dinaiki suaminya dikepung sebelum digari dan lebih memeranjatkan apabila terdapat warga Bangladesh di dalam bonet kereta itu.
“Saya percaya suami saya tidak akan melakukan kesalahan itu. Lagipun sudah lebih 10 tahun dia berulang-alik keluar masuk ke Singapura mencari rezeki di sana.
“Saya mohon kerjasama orang ramai supaya mengadakan solat hajat supaya ALLAH SWT tunjukkan kebenaran di sebalik kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya memperoleh maklumat Abdul Razak ditahan selepas menghubungi kedutaan kelmarin.
“Saya tak dapat maklumat terperinci, cuma dimaklumkan dia ditahan atas kesalahan seludup orang kerana seorang lagi penumpang selain Abdul Razak dan rakannya tidak mempunyai sebarang dokumen.
“Saya dimaklumkan, isteri dan keluarga terdekat dibenarkan melawat Abdul Razak dan kita doakan yang terbaik untuk mereka,” katanya.
Sinar Harian keluaran 6 Januari menyiarkan kebuntuan seorang wanita apabila suaminya yang tinggal sendirian di Permas Jaya, gagal dihubungi selepas diberitahu ingin mengambil gaji di Singapura pada 27 Disember.
No comments:
Post a Comment