Mar 10, 2013

JENAYAH LEBUH RAYA

PASIR GUDANG – Dua lelaki yang juga pengguna lebuh raya baru berhampiran Taman Rinting mendakwa menjadi  mangsa penjenayah menggunakan senjata tajam ketika menggunakan laluan itu.

Selasa lalu, Lee Yau Heng, 49, berkata, sekitar jam 4.30 pagi, dia bersendirian menunggang motosikal ke tempat kerja di Singapura.

Menurutnya, dia yang menyedari diekori dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha RXZ cuba melarikan diri, namun ditendang dan dibelasah teruk sehingga cedera di badan dan patah dua batang gigi.

“Salah seorang mengugut saya menggunakan pisau sehingga saya terpaksa menyerahkan telefon bimbit dan dompet yang mengandungi duit, Mykad dan kad bank.

“Mereka menolak saya bersama motosikal ke dalam longkang, tapi mujur saya selamat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Seorang lagi mangsa, Ang Teng Yang, 65, berkata, selepas lebuh raya itu mula dibuka kepada orang ramai pada tahun lalu, dia kerap berjoging di situ pada waktu awal pagi.

Namun dia serik selepas dirompak sehingga cedera parah di kepala dipukul dengan besi oleh empat lelaki.

“Saya sangka kereta mereka rosak selepas tiba-tiba kenderaan itu berhenti, rupa-rupanya mereka hendak merompak saya.

"Teruk saya dibelasah sehingga menerima 11 jahitan di kepala akibat di pukul dengan batang besi, dompet saya dicuri,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya menerima tujuh aduan berkaitan rompakan di lebuh raya baru oleh suspek sama yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ.

“Kita dapati kawasan itu agak gelap kerana tiada lampu jalan dan lampu berhampiran rosak sejak dua bulan lepas. Kita akan adakan perjumpaan dengan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddi minggu depan,” katanya. SINAR




No comments:

Post a Comment