Feb 10, 2012

Wanita 'hilang' anak dalam kes yang disyaki berunsur penyeludupan



MENCARI ANAK: Setelah Cik Wanchak menyerahkan anaknya kepada seorang pengasuh di Pasir Gudang, Johor, Mac tahun lalu, pengasuh itu menghilang dan kini berkata beliau sudah beri anak itu kepada pasangan lain. -- Foto M.O. SALLEH

SINGAPURA

Wanita 'hilang' anak dalam kes yang disyaki berunsur penyeludupan

Oleh
Nur Dhuha Esoof
HAMPIR setahun Cik Wanchak Ibrahim, 43 tahun, mencari anaknya, kini berusia 22 bulan, yang dibawa lari pengasuhnya. Namun, apabila pengasuh yang dikenali sebagai 'Cik Zainon' itu ditemui, beliau berkata anak itu tidak lagi dalam jagaannya. Malah, Cik Zainon berkata anak itu, Muhammad Ashraf Abdullah, telah 'dijual' kepada satu pasangan lain. Berita itu benar-benar mengejutkan Cik Wanchak, seorang warga Singapura yang menetap di Pasir Gudang, Johor. Semasa ditemui Berita Harian semalam, Cik Wanchak, yang mempunyai dua lagi anak, berusia 23 dan 19 tahun, mendakwa beliau diminta membayar ganti rugi sebanyak RM2,000 ($828) kepada pasangan tersebut. Menurut ibu tunggal itu, beliau menyerahkan Muhammad Ashraf apabila Cik Zainon datang ke rumahnya pada Mac tahun lalu. Beliau berjanji akan mengambil anaknya seminggu sekali serta membayar upah RM10 sehari kepada wanita berusia 46 tahun itu. Ketika itu, Muhammad Ashraf berusia 11 bulan. 'Zainon telah ke rumah saya untuk mengambil bekalan susu, mainan, buaian dan pakaian anak saya. Dia juga meminta sijil kelahiran asal agar mudah membawa anak saya ke klinik jika dia sakit nanti. 'Dia kemudian membawa saya ke balai polis untuk membuat laporan bahawa penjagaan anak saya sekarang diserahkan kepadanya,' kata Cik Wanchak, yang menyara hidup dengan menjual barang terpakai. Menurut Cik Wanchak, beberapa hari selepas itu beliau berkali-kali menghubungi Cik Zainon bagi mendapatkan berita tentang anaknya tetapi tidak berjaya. Beliau menjadi resah dan risau tentang keadaan anaknya, lalu membuat laporan di Balai Polis Pasir Gudang. Cik Wanchak tidak henti-henti berusaha mencari Cik Zainon, tetapi hanya berjaya menemui rumahnya di Kampong Sentosa, di Pasir Gudang, bulan lalu. 'Apabila saya mahu melihat Muhammad Ashraf, dia kata anak saya sudah diberikannya kepada saudaranya. Dia kemudian menghalau saya dari rumahnya. Saya rasa sungguh kecewa. 'Kali terakhir saya lihat anak saya ialah pada 20 Mac lalu. Macam mana saya tak sedih, tak rindu,' kata Cik Wanchak, sebak. Beliau kemudian membuat satu lagi laporan polis dan meminta bantuan daripada Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Permas dan Negeri Johor bagi membantunya mendapatkan anaknya, yang bakal menyambut ulang tahun keduanya April ini. Sementara itu, dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di Masai, Johor, semalam, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Roslan Zainuddin, berkata pihaknya telah dapat menjejaki Muhammad Ashraf. Beliau memberi jaminan kepada Cik Wanchak bahawa anaknya berada dalam keadaan sihat dan selamat. Pihaknya sedang dalam proses menentukan kesahihan surat sumpah, yang menurut Cik Zainon ditandatangani Cik Wanchak sebagai bukti beliau telah menyerahkan Muhammad Ashraf kepadanya sebagai anak angkat. Proses itu mengambil masa satu bulan. Dalam sidang akhbar semalam, penyelia PAR, Syed Othman Syed Abdullah, berkata beliau mengadakan satu sidang akhbar awal minggu lalu dan menelefon Cik Zainon bagi mendapatkan penjelasan. 'Cik Zainon dengan terus terang berkata bayi itu telah diberikan kepada saudaranya, dan dia meminta ganti rugi bagi kos perubatan dan penjagaan jika Cik Wanchak mahu mengambilnya semula. 'Beliau juga mengaku mempunyai ramai anak angkat. Saya mengesyaki wanita ini terlibat dalam kes penyeludupan kanak- kanak, dan menggesa polis bertindak dengan cepat,' kata Encik Othman.

No comments:

Post a Comment