INI KALI KETIGA SAYA DEDAHKAN ISU INI |
PASIR GUDANG – “Sudah lebih sebulan saya mencari rumah untuk berpindah ke kawasan lain kerana tidak tahan terpaksa menghidu bau busuk dan meloyakan akibat saluran sistem kumbahan bocor,” kata Isa Ab Karim.
Isa mendakwa, sepanjang dua tahun sudah dua kali masalah saluran sistem kumbahan di Jalan Cenderai Taman Rinting, di sini bocor sehingga bukan sahaja menimbulkan bau busuk dan meloyakan, malah membahayakan keselamatan penduduk.
DAH DUA MOTOSIKAL MASUK LOBANG |
ISA AB KARIM |
“Pada mulanya saya hubungi Syarikat Air Johor (SAJ) kerana menyangka paip air yang pecah, tetapi selepas pihak SAJ datang membuat pemeriksaan, rupa-rupanya saluran kumbahan yang bermasalah.
“Musim hujan dan pada waktu malam baunya terlampau busuk sehingga meresap ke dalam rumah walaupun pintu dan tingkap ditutup sehingga mengganggu selera makan kami sekeluarga,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Dua penunggang motosikal hampir maut
Isa berkata, keadaan lubang saluran utama yang dibiarkan tanpa penutup telah mengundang dua kes kemalangan sehingga menyebabkan dua penunggang motosikal cedera parah.
P JOGANATHAN |
Seorang lagi penduduk, P Joganathan, 47, mendakwa, masalah saluran sistem kumbahan itu sentiasa berulang setiap tahun kerana pembetung yang bocor hanya ditampal bukan diganti baru.
Kanak-kanak alami masalah kulit
Menurutnya, ramai penduduk yang mengalami masalah kesihatan terutama kanak-kanak yang menghadapi masalah kulit yang gatal dan berkudis akibat masalah sistem kumbahan.
“Kita bimbang kerana air kumbahan yang bertakung di atas jalan raya dan mengalir ke dalam longkang boleh menimbulkan masalah besar kepada kesihatan penduduk.
“Kita mohon kerjasama pihak bertanggungjawab supaya dapat mengambil tindakan segera kerana penduduk sudah tidak tahan dengan bau busuk dan meloyakan,” katanya.
Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya sudah menerima lebih 30 aduan daripada penduduk mengenai masalah itu.
Menurutnya, pihaknya akan menghantar surat kepada pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Biro Pengaduan Awam mengenai kegagalan masalah itu ditangani segera.
“Kita telah mengambil inisiatif sendiri meletakkan papan tanda amaran untuk mengelakkan ada lagi pengguna jalan raya yang menjadi mangsa terjatuh ke dalam lubang saluran utama sistem kumbahan.
“Kita minta masalah itu diatasi segera kerana penduduk sudah tidak sanggup berdepan risiko rumah dimasuki air kumbahan apabila musim banjir,” katanya.
MBJB sedang dalam proses ambil tindakan
Dalam pada itu, Ahli Majlis MBJB Zon Rinting, Ahmad Daud ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya telah menerima aduan berkaitan masalah itu dan sedang dalam proses mengambil tindakan.
Menurutnya, kontraktor yang dilantik sedang membuat kajian untuk mencari jalan penyelesaian terbaik agar masalah saluran sistem kumbahan yang pecah tidak lagi berulang.
“Masalah itu bukan perkara mudah untuk diselesaikan kerana ia melibatkan masalah teknikal yang memerlukan kajian terperinci sebelum tindakan lanjut diambil.
“Kita minta penduduk bersabar kerana kita jangkakan masalah itu bakal diselesaikan dalam tempoh dua minggu lagi dan kita juga telah mengambil tindakan menutup jalan sementara di kawasan saluran kumbahan yang pecah,” katanya.
No comments:
Post a Comment