Oct 13, 2010

Isu Banjir - Pesuruhjaya Suhakam Turun Kg Setanggi & Kg Tok Siak







Isu hak asasi manusia kini menjadi isu hangat di negeri Johor sekarang ini dan paling menerima kesan tersebut ialah penduduk dari tiga buah kampung iaitu Kampung Setanggi, Kampung Tok Siak dan Kampung Hajah Hasnah.

Penduduk yang sebelum ini kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang seolahnya memandang sebelah mata isu banjir di kampung-kampung tersebut kini sedikit terubat dengan kehadiran Pesuruhjaya Suhakam sendiri iaitu Tuan Muhammad Sha'ani Abdullah yang sanggup turun padang mendengar sendiri masalah penduduk dan menggunakan kuasa yang Suhakam ada dengan memanggil beberapa agensi kerajaan yang terlibat untuk memberi penjelasan.

Pesuruhjaya Suhakam turun padang mendengar penjelasan dari unit saliran Majlis Bandaraya Johor Bahru & Jabatan Pengairan Saliran Johor

Kehadiran beliau disambut oleh beberapa orang wakil penduduk dari jawatankuasa bertindak kampung dan turut hadir penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Tanjung Puteri dan Zon Permas.

Pesuruhjaya Suhakam meminta penduduk menunjukkan sendiri kesan dari banjir yang berlaku di kampung tersebut dan meninjau sendiri projek perumahan flet penempatan semula setinggan yang menjadi punca utama banjir berlaku di kampung tersebut lebih dari 8 kali dalam masa tidak sampai setahun.

Tidak lama selepas itu En Mustaffa yang mewakili Jabatan Pengairan Saliran Johor hadir dan memberikan maklum balas projek tersebut bukan di bawah seliaan dan kelulusan JPS Johor dan katanya beliau boleh memberikan komen supaya pemaju projek dan MBJB mengusulkan projek tersebut kepada JPS untuk diberikan komen dan maklum balas.

Tidak ketinggalan selepas itu beberapa orang pegawai dari Unit Saliran Majlis Bandaraya Johor Bahru yang diketuai sendiri oleh Puan Mazlifah Isa hadir memberikan penjelasan tentang kelulusan projek tersebut termasuklah perkembangan projek yang melibatkan kolam takungan air yang dikatakan tempat penduduk kampung tinggal sekarang ini.

Beliau mengatakan punca asal banjir tersebut adalah dari kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak MRCB selaku pemaju lebuhraya EDL di kampung tersebut bila mana anak sungai di empang dan seterusnya pemaju Tebrau Teguh Berhad yang membangunkan projek perumahan flet penempatan semula setinggan telahpun mengecilkan anak sungai dengan mengempang dan menukar laluan semulajadi anak sungai tersebut.

Timbul keraguan dalam projek tersebut kerana seolahnya kerajaan negeri Johor melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor yang menganugerahkan projek perumahan tersebut kepada Tebrau Teguh bertindak sambil lewa dengan tidak mengambil kira keselamatan nyawa dan harta benda penduduk di sekitar kampung tersebut. Persoalannya sekarang adakah ada agenda tersembunyi kerajaan negeri Johor untuk menghalau beberapa penempatan setinggan di kampung tersebut.

Pesuruhjaya Suhakam dalam sidang medianya mengatakan rakyat mesti berani menyatakan bantahan tentang projek pembangunan yang merugikan rakyat dan penduduk kerana ianya adalah hak asasi manusia tambahan lagi sekiranya ianya melibatkan nyawa dan harta benda. Beliau mengatakan akan turun sekali lagi dan akan memanggil UPEN Johor untuk memberikan penjelasan kepada penduduk.

No comments:

Post a Comment