Oct 13, 2010

Isu Banjir Kg Tok Siak & Kg Setanggi ke Suhakam & Parlimen









Penduduk dua buah kampung dari Kampung Setanggi & Kampung Setanggi Tok Siak akhirnya sepakat naik pihak atasan untuk mengadukan isu banjir di kampung mereka ke Suhakam dan Parlimen pada Khamis 07 Oktober 2010 yang lalu. Sedia maklum penduduk telah menuntut gantirugi kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor yang menganugerahkan projek penempatan semula setinggan lapan buah kampung kepada Tebrau Teguh Sdn Bhd yang telah mengecilkan dan mengubah laluan anak Sungai Tampoi sejak projek bermula menyebabkan penduduk kampung mengalami trauma banjir lebih lapan kali dalam masa tidak sampai setahun.

Rombongan penduduk kampung bertolak kira-kira jam 6.30 pagi setelah solat subuh ditemani oleh Saudara Rosli Kemin, Saudara Mohd Shahrizal Aliman & Saudara Syed Othman Syed Abdullah masing-masing dari Pusat Aduan Rakyat Tanjung Puteri dan Pusat Aduan Rakyat Permas.

Rombongan penduduk sampai di Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) di Kuala Lumpur kira-kira jam 11.30 pagi dan di sambut sendiri oleh Pesuruhjayanya Tuan Muhammad Sha'ani Bin Abdullah. Sesi aduan dimulakan dengan pengenalan peranan Suhakam yang ditubuhkan 11 tahun yang lalu sebagai alternatif rakyat untuk berani tampil kehadapan mengadu masalah semasa berurusan dengan agensi kerajaan.

Saudara Syed Othman & Saudara Rosli Kemin seterusnya menceritakan kronologi peristiwa banjir yang berlaku di kampung tersebut sejak bulan Februari 2010 diikuti Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung En Mustapha Mohamed menceritakan kesusahan, kepayahan dan kerugian yang ditanggung oleh penduduk semasa dan selepas banjir melanda kampung-kampung tersebut.

Pesuruhjaya Suhakam respon dengan bertanyakan bagaimana usaha yang telah dilakukan oleh penduduk dengan demonstrasi aman, sidang media, laporan polis dan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Johor adakah menerima respon positif dari agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

Jawapannya kesatuan penduduk telahpun dipecah belahkan oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab yang menghasut penduduk untuk berpada dengan apa yang berlaku, ada penduduk yang di suruh pindah, jawatankuasa bertindak penduduk dituduh sesat dan sebagainya dan terakhir sekali sumbangan wang ihsan dari Pejabat Daerah Johor Bahru yang diserahkan sendiri oleh wakil rakyat Parlimen Dato Shahrir Abd Samad.

Setelah berdiskusi panjang Pesuruhjaya Suhakam berjanji dengan memberi jaminan akan turun kedua-dua kampung tersebut kerana katanya isu ini melibatkan kepayahan dan kesusahan penduduk yang dikira sebagai hak asasi manusia yang perlu dibela. Isu banjir bukan kecil kerana ianya melibatkan nyawa dan kerugian harta benda penduduk. Beliau juga berjanji akan memanggil semua agensi-agensi kerajaan yang terlibat untuk memberikan penjelasan dan gambaran sebenar kepada Suhakam dan penduduk kampung itu sendiri.

Kemudiaannya penduduk di bawa ke Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur untuk bertemu pula dengan Yb Salahuddin Ayub yang juga Naib Presiden PAS untuk membuat sidang media dan beliau sendiri akan membangkitkan isu masalah penduduk kampung ke Parlimen untuk dibahaskan dan meminta jawapan dari agensi kerajaan yang terlibat.

No comments:

Post a Comment