Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA yang dicadangkan oleh sekumpulan pemimpin parti itu untuk diadakan Sabtu ini telah dibatalkan dan akan digantikan dengan sesi taklimat khas bersama perwakilan.
Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan dan nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Liow memberitahu sidang akhbar di ibu pejabat MCA di sini bahawa pembatalan EGM itu juga dibuat selepas beliau mencapai persetujuan dengan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk mengadakan pemilihan baru parti.
"Hasil usaha gigih Pengerusi BN (Najib) dan Timbalan Pengerusi BN (Muhyiddin), kumpulan yang mahu EGM ini diadakan telah mencapai kata sepakat melibatkan tiga pihak, supaya satu pemilihan baru bagi Jawatankuasa Pusat MCA diadakan.
"Kami juga yakin Mesyuarat Agung Tahunan pada 5 Dis ini akan ditangguhkan ke satu tarikh sempena pemilihan parti yang dicadangkan itu," katanya pada sidang akhbar itu yang turut dihadiri Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong, Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun dan anggotaanggota Jawatankuasa Pusat, Wong Nai Chee, Datuk Wee Jeck Seng dan Datuk Liew Yuen Keong.
Liow berkata sesi taklimat khas itu akan digunakan untuk menerangkan kepada perwakilan berkenaan situasi semasa, masalah yang dihadapi oleh parti serta pentingnya pemilihan baru parti diadakan dan bagaimana ia boleh dilaksanakan.
"Seramai 1,300 perwakilan telah mendaftar untuk menghadiri EGM tersebut (yang kini diganti sesi taklimat).
"Kita akan gunakan masa itu untuk mengadakan taklimat kepada perwakilan dan ahli parti agar mereka memahami masalah yang dihadapi oleh parti dan betapa pentingnya pemilihan semula parti dan bagaimana pemilihan semula itu boleh diadakan.
"Oleh itu taklimat ini adalah penting untuk membolehkan ahliahli parti lebih memahami perkembangan semasa dalam parti,"katanya.Mengenai tarikh pemilihan baru parti, Liow berkata pelan mengenainya telah pun digariskan dan diluluskan.
"Tarikh pemilihan akan diumumkan kelak. Road map (pelan) untuk pemilihan parti telah digariskan dan telah mendapat persetujuan. Yang penting road map sudah siap dan kita sudah tahu bila kita boleh mengadakan pemilihan," katanya.
Beliau berkata pemilihan itu perlu dilakukan segera demi kesinambungan politik MCA serta menjaga prestasi BN ketika ini.
Liow berkata tarikh paling sesuai untuk mengadakan pemilihan itu ialah Januari depan kerana sekiranya lewat masyarakat akan mula mempersoalkan kredibiliti MCA.
"Pemilihan perlu diadakan secepat mungkin. Pada awalnya kita cadang pada Disember ini tetapi setelah dibincangkan perkara itu dilewatkan sedikit. Jadi kita rasa Januari adalah masa paling sesuai.
"Paling lewat Januari. Itu kita boleh terima tetapi jika dibuat pada Mac atau Jun kita bimbang rakyat akan bosan dengan parti,"katanya. BERNAMA
No comments:
Post a Comment