Oct 23, 2009

PEMUDA PAS SERAH MEMORANDUM DESAK..........

Pemuda Pas serah memorandum desak inkuiri awam

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Pusat menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) agar menjalankan siasatan menerusi inkuiri awam berkenaan undi pos di Bagan Pinang.

Ketua Penerangannya, Suhaizan Kaiat berkata, turut lampirkan bersama memorandum itu bukti ketidaktelusan yang berlaku dalam undi pos.

"Terdapat sembilan kes yang dinyatakan di dalam memorandum ini. Pemuda Pas berharap Suhakam bertindak," katanya.

Menurutnya, kes itu adalah cara penghantaran undi, daftar pemilih berbeza, kempen menteri di kem tentera dan pengakuan bekas tentera mengenai berlakunya penyelewengan dalam proses undi.

"Sebelum ini Pas menggunakan pelbagai ruang, termasuk membuat laporan polis, mengadakan sesi dialog dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menangani kes penyelewengan dalam sistem pengundian," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan pula berkata, kemenangan Barisan Nasional di Bagan Pinang 'dibiayai' undi pos.

“Itu bukan wakil rakyat, itu wakil pos kerana majoriti kemenangan ini adalah kerana undi pos. Penyerahan memorandum kepada Suhakam supaya mengadakan inkuiri awam itu adalah langkah terakhir Pemuda Pas.

"Jika tidak mendapat jawapan wajar, kami akan memanjangkannya ke peringkat antarabangsa sebagaimana yang dilakukan parti pembangkang di Afghanistan yang berjaya membatalkan keputusan pilihan raya negara itu yang melibatkan lebih sejuta undi,” katanya.

Suhaizan berkata, pihak berwajib hendaklah menunaikan tanggungjawab dan sistem undi pos perlu dihapuskan kerana "banyak didapati melanggar peraturan yang ditetapkan".

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam, berkata Suhakam telah memberi beberapa cada- ngan dari semasa ke semasa, termasuk meminta SPR memberi jaminan bahawa proses undi dijalankan dengan telus.

“Perlu ada penyelarasan antara SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengeluarkan senarai nama pengundi yang sudah meninggal dunia. Suhakam juga telah meminta agar undi pos hanyalah diberikan kepada tiga pihak, iaitu polis dan tentera yang sedang bertugas di luar negara, dalam medan peperangan dan juga diplomat," katanya.

Katanya, memorandum Pemuda Pas itu akan diteliti sebelum sebarang tindakan diambil.SUMBER SINAR

No comments:

Post a Comment