Kekalahan di Bagan Pinang tidak akan membantutkan usaha Pakatan Rakyat untuk terus berkhidmat kepada rakyat Negeri Sembilan dan Negara khususnya.
Bagi ahli parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof apa yang berlaku di Bagan Pinang adalah pengajaran kepada Pakatan Rakyat (PR) dalam menempuhi arena politik negara.
Menurut Yusmadi lagi, untuk menjadi parti yang diterima rakyat, PR perlu mengakui bahawa mungkin ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan rakyat di Bagan Pinang menolak PR.
"Bagaimanapun saya tidak menafikan bahawa unsur-unsur penyalahgunaan jentera kerajaan juga adalah penyumbang kepada kekalahan kita," katanya.
Pihak PR juga perlu melihat sedalam-dalamnya punca masalah penolakan ini. Sebagai contoh isu berkenaan masyarakat India seperti di Kg Buah Pala dan juga perkara yang melibatkan masalah orang Melayu.
"Masalah-masalah ini perlu diangkat oleh PR kerana sedikit sebanyak ia mungkin memberi kesan kepada politik kita," ujarnya lagi.
Tambah Yusmadi, PR tidak silap dari segi formula tetapi mungkin salah dari segi strategi.
"Pada saya dari segi formula PR sudah berada dilandasan yang betul barangkali rakyat masih lagi terperangkap dengan politik lama(perkauman) yang dibawa oleh Umno tetapi dalam masa yang sama apa yang perlu ialah PR lebih agresif mengangkat budaya politik baru," terangnya.
Tindakan yang sedemikian rasanya lebih relevan dalam menolak budaya politik Umno ini.
Mengakui kekalahan di Bagan Pinang adalah satu yang baik bagi PR.
"Sikap berterus terang dalam menilai prestasi parti adalah lebih baik, saya rasa rakyat boleh menerima jika kita mengakui kelemahan dan cara ini akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap PR, cara ini akan memudahkan untuk kita menawan negara," katanya.
Disamping itu Yusmadi juga mengesa agar golongan muda perlu diberi lebih peranan dalam pilihan raya yang akan datang.
Manakala bagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata kekalahan itu bukan titik noktah kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk menabur jasa dan membela nasib rakyat yang ditindas oleh pemerintahan Umno-BN.
"Kita terima. Kita akan teruskan berkhidmat pada rakyat. Kita akan terus perangi rasuah. Umno-BN boleh berbangga sebab memenangi pilihan raya kali ini. Tetapi gagal menunjukkan komitmen mereka dalam memerangi rasuah. Memilih perasuah sebagai calon. Ini suatu kemalangan kepada politik negara."
Umno sebelum ini lantang menjulang pedang kononnya ingin memerangi rasuah dan korupsi dalam pemerintahannya. Namun ternyata ianya retorik semata-mata apabila berkeputusan meletakkan bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad sebagai calon bagi pilihan raya kecil kali ini.
Isa Samad pernah digantung keahliannya dari Umno selepas terbukti bersalah apabila terbabit dalam rasuah semasa pemilihan Umno 2004.
Umno tidak berubah (sub tajuk)
Mengulas mengenai dakwaan bahawa Umno kini kembali diterima oleh masyarakat. Bagi Yusmadi kemenangan Umno di Bagan Pinang adalah satu rahmat.
"Umno sebenarnya tidak berubah sebab mereka masih lagi tidak peduli dengan jenayah rasuah lantas sanggup memilih perasuah sebagai wakil mereka, ini bermakna mereka telah membuktikan bahawa mereka adalah parti rasuah," katanya.
Tambahnya lagi dengan apa yang berlaku ini akan membuka mata rakyat Malaysia secara keseluruhan tentang perihal Umno yang tidak pernah berubah.
"Bagan Pinang adalah reaksi semasa bukan penolakan kepada agenda PR," dakwanya lagi.
Bagi Mahfuz beliau melihat kemenangan Umno-BN dari kacamata yang positif.
"Kemenangan Umno-BN ada hikmah kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke 13 nanti. Isa Samad akan cetus pergelutan politik dalam Umno, rakyat akan rasa muak dan putus asa pada BN," katanya.
PAS akan melakukan post-mortem dengan segera bagi meneliti segala aspek untuk menilai kegagalan dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang.
Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pelbagai komen, analisa dan cadangan yang diterima oleh PAS ketika ini akan diteliti untuk melihat punca kegagalan PAS dalam pilihan raya berkenaan.
"Apa yang pasti ialah PAS akan melakukan post-mortem bagi meneliti pelbagai aspek. Politik tempatan dan nasional, untuk menentukan punca sebenar kegagalan PAS memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dari tangan BN.
"Kepimpinan parti tentunya akan mengambil langkah strategik yang bersesuaian tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti dalam melaksanakan penambahbaikan," jelasnya dalam satu kenyataan daripada Syria melalui setiausaha politiknya, Dr Ahmad Samsuri.
Tambahnya, semua ahli di pelbagai peringkat dalam PAS diminta supaya tidak menuding jari dan menyalahkan sesiapa sebelum punca sebenar ini dapat dikena pasti.sumber
No comments:
Post a Comment