- Dari kiri: Fatimah, Aishah dan Adam menunjukkan dokumen pengenalan diri sementara mereka kepada Syed Othman (kanan).
Fatimah, 39, berkata, masalah timbul apabila mereka empat beradik dihantar ke rumah kebajikan masyarakat tanpa sebarang dokumen pengenalan diri sekitar 1984 selepas dilaporkan terbiar tanpa penjagaan kerana bapa mereka bekerja kontrak di luar kawasan.
Menurutnya, kehidupan mereka bertambah rumit apabila tidak memiliki kehidupan yang sempurna seperti warganegara lain kerana dilayan seperti warga asing tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
“Selepas pelbagai usaha kami lakukan, jabatan bertanggungjawab akhirnya mengeluarkan MyKad sementara yang perlu diperbaharui setiap empat tahun sekali pada 2008.
“Apabila diperbaharui saya agak kecewa apabila MyKad sementara ini tercatat bukan warganegara, sedangkan kami rakyat tempatan yang dilahirkan di Pahang, sehingga menyukarkan kami untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Sementara itu, Aishah Abdullah, 36, berkata, dia bernasib baik kerana perkahwinannya sekitar 1994 diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi segala harta sepencarian tidak boleh didaftarkan atas namanya.
Menurutnya, masa depan mereka empat beradik agak pudar kerana tidak mempunyai wang simpanan di mana-mana bank, apatah lagi kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) hanya kerana memiliki MyKad sementara.
“Saya bersyukur kerana mempunyai suami yang bertanggungjawab, tapi nasib abang, kakak dan adik saya yang belum berumah tangga agak sukar kerana mereka berhadapan masalah dalam membuat simpanan untuk jaminan masa depan.
“Kakak saya pernah ke bank untuk membuka akaun simpanan, tetapi dimaklumkan agak berisiko kerana duit simpanan perlu dikeluarkan sebelum MyKad sementara tamat tempoh,” katanya.
Ujarnya, keinginan untuk bertemu semula bapa, Ahmad, yang kini berumur lingkungan 60 tahun dan adik bongsu mereka yang kini berumur 28 tahun amat tebal.
Jelasnya, selepas dihantar ke rumah kebajikan masyarakat, mereka terputus hubungan dengan ayah yang ketika itu berulang-alik ke tempat kerja dan hanya seminggu sekali pulang ke rumah mereka di Ulu Tiram.
“Adik bongsu kami perempuan pula terpaksa diserahkan kepada sebuah keluarga angkat ketika kami menetap di Pahang selepas ibu meninggal dunia ketika bersalin,” katanya.
Dalam pada itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan meneliti semua dokumen yang dimiliki sebelum mengatur pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Kita akan minta semua adik-beradik ini memberi komitmen untuk mengadakan perbincangan dengan pihak JPN dalam masa terdekat bagi mengetahui kaedah penyelesaian terbaik,” katanya. SINAR
No comments:
Post a Comment