Feb 22, 2014
POLIS DI SANGKA PEROMPAK
JOHOR BAHRU - Seorang wanita berhadapan detik cemas apabila melihat lelaki disangka perompak memanjat pagar kediaman dan memecahkan pintu hadapan rumahnya di Taman Molek, di sini, 17 Februari lalu.
Wanita berkenaan yang juga seorang kerani, Lee Kai Ling, 27, berkata, dia bersendirian di rumahnya dalam kejadian jam 2 petang itu kerana suaminya, Kum Weng Fai, 28, bekerja.
Menurutnya, dia yang ketakutan dan panik melihat tindakan kumpulan lelaki itu, terus berlari ke bilik untuk menyelamatkan diri dan sempat menjerit meminta pertolongan.
“Tiba-tiba, pintu bilik saya terbuka dan ketika itu, ketiga-tiga mereka memperkenalkan diri sebagai polis dengan menunjukkan kad kuasa.
"Saya sedikit lega, namun jika diperkenalkan lebih awal, saya tiada masalah untuk memberikan kerjasama.
“Paling memeranjatkan, saya diberitahu kediaman kami diserbu kerana disyaki menyimpan dadah selepas polis menerima maklumat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Dia ditemui selepas menerima kunjungan media bersama Adun Johor Jaya, Liow Chai Tung dan Penyelaras Pusat Aduan Rakyat Kawasan Permas, Syed Othman Syed Abdullah.
Kai Ling berkata, dia ketakutan selepas ternampak kelibat orang memanjat pagar rumahnya sehingga menyangka anggota polis terbabit sebagai penjenayah kerana ada kejadian kediaman jirannya dirompak sebelum itu.
“Selain itu, pada tahun lalu, rumah kami pernah menjadi sasaran penjenayah yang memecahkan cermin kereta suami dan sempat melarikan beberapa barangan berharga.
Menurutnya, jika anggota polis tidak memakai uniform sekalipun, penggunaan vest sudah memadai untuk orang awam sepertinya maklum bahawa mereka adalah pihak berkuasa.
Tambahnya, kira-kira setengah jam kediamannya diperiksa, seorang pegawai terbabit menyerahkan borang geledah.
“Berdasarkan maklumat daripada borang berkenaan, tiada sebarang rampasan dibuat selain tiada sebarang dadah ditemui. Saya dan suami tidak pernah menyimpan barangan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Kai Ling berkata, dia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis, namun ada membuat laporan di Balai Polis Taman Johor Jaya, di sini, pada hari sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainudin berkata, pihaknya juga perlu mengetahui cerita berhubung insiden tersebut daripada anggota terlibat dan tidak akan mendengar versi sebelah pihak sahaja.
“Tidak dinafikan, ada pihak yang suka menyalahkan polis jika tidak berpuas hati. Bagaimanapun, ingin saya tegaskan bahawa setiap serbuan dijalankan pegawai dan anggota sentiasa mengikuti SOP ditetapkan,” katanya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment