Nota Sedih, Amat Sedih Dari Sudut Hati Ahli UMNO
Assalamualaikum Pak Syed.
Saya mulakan nota ini dengan lafaz keramat Bismillahhirrahmannirrahim,
agar dengannya saya terpandu dan terpimpin untuk menyatakan sesuatu
dengan niat kerana Allah jua. Hidup ini ringkas, singkat.
Saya bimbang jika saya bertangguh, tidak sempat maka saya akan gagal mnjawab di Mahkamah Allah Rabbuljalil.
Saya tidak berpeluang bercakap di Perhimpunan Agung UMNO walaupun saya telah mnjadi ahli UMNO sejak berumur 18 tahun
(Puluhan tahun lalu) Pada ketika itu saya menjadi ahli UMNO kerana datuk
nenek dan ibu bapa saya mahu saya mewarisi mereka. Menjadi ahli UMNO
yang setia sehingga ke akhir hayat.
Setelah sekian lama, baru sekarang saya mencatat sesuatu yang lahir
daripada sudut hati saya. Jauh terbenam. Bergelora dan bercampur baur.
Sayu, bimbang, kasih, marah saling kait mengait. Keliru juga sedang ikut
sama mengisi secara serentak perasaan dan pemikiran saya.
Kalau boleh saya ingin berdiri di puncak gunung. Seluruh saf kepimpinan
UMNO duduk bersila di sekeliling saya, berteleku mendengar saya bercakap
meluahkan segala perasaan dan pemikiran saya dan kemudian saya redha
mengadap Tuhan dengan mata tertutup rapat.
Saya ini orang UMNO. Dulu, kini dan insyaallah selamanya. Ini amanah
datuk nenek saya. Saya genggam erat amanah ini. Tapi pada masa datuk
saya menjadi ahli UMNO, beliau beberapa kali berjabat salam dengan
Almarhum Tunku Abdul Rahman dan Allahyarham Tun Razak.
Datuk saya adalah ahli UMNO yang tidak memegang jawatan dalam parti,
bahkan tidak bersekolah tinggi. Masih ada gambar kenangan mereka bersama
tersimpan dalam almari peninggalan nenek. Walaupun telah kabur tapi ia
tetap jelas dan dapat dikenali.
Pada masa itu tiada slogan atau ungkapan ' merasa denyut nadi rakyat '.
Tetapi memang Presiden Parti turun ke cawangan cawangan UMNO , bercakap
tentang hasrat dan cita cita parti. Arahala negara ke mana hendak
dibawa.
Saya bertanya kepada rakan rakan Ketua Cawangan di kawasan saya,
pernahkah bersalaman dengan Presiden UMNO? Tidak kata mereka sebab
sewaktu Presiden parti turun ke negeri hanya pemimpin Bahagian dan
Negeri yang berpeluang berdialog bersamanya.
Bahkan saya terkejut apabila diberitahu ada pemimpin cawangan tidak
pernah bersua muka dengan Menteri Besar , tidak pernah. Maka sayapun
mula rasa keliru, adakah benar UMNO ini parti inklusif atau sekadar
pemanis mulut semata mata. UMNO sudah menjadi elitis dan bangsawan lebih
bangsawan dari zaman Allahyarham ayahanda Tengku dulu.
UMNO mesra rakyat, UMNO pejuang masa depan melayu, UMNO penyelamat
melayu dan 1001 macam lagi retorik dan hegemoni politik yang berterusan
disuapkan dan dimomokkan kedalam kepala otak orang melayu sehinggakan
orang melayu sekarang ini sebegitu takut untuk berfikir dan bertindak
melainkan terus memilih UMNO. Terus percaya UMNO pejuang dan menjamin
survival melayu.
Barangkali kebenaran ini semua hanya 10 peratus sahaja tetapi yang 90
peratus lagi adalah bagi menjamin tembolok dan perut pemimpin UMNO terus
kenyang dsn berisi. Hebat politik UMNO ni.
Saya mohon maaf kerana menjangka nyawa UMNO ini sudah tidak lama.
Percayalah. Kunci nyawa UMNO adalah cawangan cawangan. Saya mula dapat
rasakan pemimpin dan ahli di cawangan cawangan mula rasa seperti 'tidak
berguna'.
Pengalaman menghadapi PRU 13 baru baru ini amat melukakan hati kami di
cawangan cawangan. Tsunami 2008 telah menyebabkan UMNO memulakan gerak
kerja sebaik sahaja keputusan PRU 12 diumumkan. Pusat Daerah Mengundi
ditubuhkan, Bilik Gerakan dimulakan di peringkat Cawangan dan Lokaliti.
Di tempat saya, Ketua Cawangan diberikan peruntukan yang amat minima.
Kerana itu ramai yang menggunakan wang sendiri untuk menjayakan kerja
kerja Jalinan Rakyat, Ceramah dan bengkel. Tiada peruntukan, itulah
alasan yang diberikan oleh Bahagian. Atas nama perjuangan, segala
tanggungjawab dilaksanakan.
Tiba tiba kami terkejut apabila mendapat tahu, Kampung Baru Cina diberi
peruntukan ratusan ribu ringgit. Hampir setiap minggu diadakan makan
malam bertaraf hotel, menelan belanja puluhan ribu ringgit untuk sekali
program. Maaf, saya kedengaran seperti cemburu, tetapi hakikatnya setiap
minggu Ahli Parlimen kami hadir untuk program program bersama pengundi
Cina dan India.
Sewaktu melawat ke kampung kami untuk Solat Jumaat, Ketua Cawangan diberikan tiga ratus ringgit untuk makan tengahari.
Di waktu PRU 13 makin hampir, kami di cawangan semakin tertekan. Program semakin
banyak, peruntukan tidak juga turun sehinggalah Parlimen dibubarkan.
Bayangkan perasaan kami di cawangan cawangan bilamana diperuntukkan
dengan biskut mayat, air mineral dan rokok jenama OK (Kononnya diimport
dari India)
Merokok adalah amalan tidak sihat, tetapi Pemuda kita di cawangan
sebahagiannya merokok. Kata mereka rokok OK ini, nyamukpun pengsan
kerana asapnya.
Pemimpin bercakap tentang perjuangan dan pengorbanan tetapi mereka datang dengan kereta mewah dan menghisap curut luar negara.
Barangkali darah UMNO yang pekat menyebabkan kami terus bekerja dan
alhamdulillah UMNO khasnya di kerusi luar bandar telah menyelamatkan
kerajaan UMNO/BN ini. Perdana Menteri dan Presiden parti seakan amat
menghargai UMNO apabila dengan berani mengisytiharkan Tsunami Cina telah
berlaku.
UMNO menunggu dan menunggu. Apakah pengumuman besar Perdana Menteri
untuk membalas pengorbanan kami selama ini. Sehingga kini tiada apa
sebenarnya, tiada.
Yang diumumkan kenaikan harga minyak. Yang diumumkan kenaikan harga
gula. Yang diumumkan kenaikan harga rokok. Dan yang diumumkan hari ini
kenaikan tarif elektrik. Kami terkedu, malu. Kami beberapa hari tidak
keluar ke kedai kopi kerana sewaktu kempen PRU13, kami janjikan Kerajaan
yang prihatin dan memahami kesukaran rakyat.
Kami telah gagal mengotakan janji. Kami menjadi bahan lawak rakan rakan
kerana hakikatnya selepas PRU 13, tiada apa apa yang istimewa untuk kita
Orang Melayu yang telah menyelamatkan kerajaan UMNO/BN.
Kalaulah saya berpeluang bercakap kepada Perdana Menteri, saya ingin
katakan betapa sukarnya menjadi aktivis UMNO di kampung kampung. Rakan
rakan menyatakan Perdana Menteri telah hilang kawalan. Gagal mengawal
segalanya. Saya bukan orang pandai. Bila ada orang datang dan beritahu
orang kampung DS Najib sangat kuat membazir, mereka datang dengan data.
Saya pula hampir percaya kerana Perdana Menteri tidak pernah
menafikannya, bahkan kadang kala sinis bergelak ketawa.
Saya tak mampu menjawab bahawa DS Najib membazir apabila untuk ubahsuai
rumah sahaja dalam tempoh lima tahun menghampiri 100 juta sedangkan
untuk baikpulih rumah fakir miskin di kampung saya hanya lima ribu
diperuntukkan.
Ada orang memberitahu saya, Datin Rosmah Mansur mempunyai peruntukannya
sendiri dan diwartakan dalam Bajet Negara. Apa agaknya yang patut saya
nyatakan. Dalam Parlimenpun namanya disebut mengguna ' jet peribadi
untuk lawan peribadi keluar negara '.
Anak anak muda di cawangan saya, yang pada PRU13 telah menyokong UMNO
hari ini memberitahu saya bahawa di dalam blog dan face book banyak
dinyatakan pembaziran yang Datuk Seri lakukan. Berbilion ringgit
digunakan untuk hanya beberapa orang duduk berbincang dan memberi
cadangan. Sedangkan yang bertungkus lumus memenangkan parti ialah kami
di cawangan cawangan.
Anak anak kami celik maklumat. Mereka membaca berbagai cerita di dalam
blog dan setakat ini tiada satupun yang dijawab oleh Perdana Menteri.
Diam bermakna benar. Kami diminta untuk berhemah dalam berbelanja
sedangkan Perdana Menteri dengan mudah berbelanja untuk sesuatu yang
tidak pasti arah tujuannya.
Saya menerima amanah daripada datuk nenek saya, ibu bapa saya untuk
terus bersama UMNO. Tapi saya berterus terang saya tidak berani meminta
anak anak saya untuk setia bersama UMNO sedangkan saya sendiri mula
meragui kemampuannya mentadbir negara.
Saya cuba berlapang dada. Namun kenyataannya pada setiap kali Datuk Seri
bercakap tentang kemakmuran dan kemampuan negara, saya sentiasa
terfikir kenapa semua harga barangan dan perkhidmatan naik sedangkan
harga getah kami di kampung kekal rendah ?
Saya tidak fikir, saya mampu lagi untuk berdepan dengan orang kampung
yang susah, anak muda yang menganggur dengan memberikan janji janji yang
baru. Saya bimbang saya akan jadi orang tua yang tidak dihormati kerana
bercakap perkara yang tidak betul.
Beberapa hari lagi UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agung. Saya sudah
dapat bayangkan, ucapan bersemangat Presiden Parti, disusuli sorak sorai
perwakilan. Kemudian akan ada perwakilan mengatakan inilah ucapan
terbaik Presiden Parti.
Perbahasan selepas itu, akan mengandungi pujian pujian dan lawak jenaka.
Akhirnya semua pulang tanpa sebarang keputusan yang padu untuk membina
umat Melayu.
Saya mula berasa bimbang kerana dalam hati saya sudah ada keraguan. Saya
mula mencari apakah kekuatan DS Najib Razak untuk kita banggakan ?
Malangnya sampai sekarang saya tidak menemui apa apa. Bahkan sebaliknya
saya mula berasa, DS Najib hanya berjaya berjanji tapi gagal menepati
janji.
Saya amat bimbang, jika dalam PRU 13, orang Melayu di kampung telah
menangkan UMNO, pada PRU 14, orang Melayu yang berasa tertipu dan
terpedaya tidak akan berikan sokongan yang sama.
Kalaulah saya boleh bercakap dengan DS Najib, saya ingin katakan
barangkali masanya telah sampai untuk beliau berundur kerana beliau
telah gagal dan UMNO perlukan orang yang lebih ' gagah berani' untuk
mencapai kejayaan di masa depan. Konsultan dan penasihat penasihat DS
Najib lebih teruk dari bebudak tingkat 4 sebelum ini. DS Najib
sebenarnye lebih teruk dari PM sebelum dia. DS Najib harus baca rintihan
dan suara dari blog blog popular untuk sedar diri dan mengetahui rating
dia sebagai PM sekarang ini. DS Najib jangan hanya tertumpu kepada
Utusan dan jangan hanya dengar Omar Ong.
Perletakan jawatan Tun M sebagai penasihat Petronas mesti dilihat
sebagai satu indikasi yang serius tentang tahap pemerintahan DS Najib.
Percaya saya, ramai orang Melayu tidak pandai bercakap tetapi semuanya
mempunyai perasaan yang sudah semakin meluat dengan kepimpinan negara.
Khalayak yang marhain ini sudah mulai muak dengan muka dan retorik PM
sekarang.
PM nak jaga semua penasihat dan konsultan dia, jagalah!
Kalau kami rakyat yang setia ini tidak dipeduli, tidak didengari, tidak
diendakan maka tunggulah PRU14 ini akan kami pastikan undi kami kepada
"syaitan yang telah kami kenali" kerana selama ini, baru kami sedar,
kami semua dibohongi oleh "malaikat yang tidak kami kenali"
PK
No comments:
Post a Comment