- Salmina ketika menerima kunjungan Syed Othman ke rumahnya di Permas Jaya
Sudahlah hidupnya susah bersama seorang anak orang kurang upaya (OKU), dia dirompak lagi sambil dihunus dengan parang panjang tanpa ada belas kasihan.
Salmina Yusof, 48, berkata, kejadian kedua selepas dua bulan dirompak pada hujung tahun lalu benar-benar meninggalkan kesan trauma dalam hidupnya dan membuatkannya lebih berhati-hati.
Menurutnya, dia diperdayakan dua lelaki yang memintanya membuka pintu pagar kerana ingin menghantar sumbangan kepada anaknya, Nurul Syafikah Jasni, 17.
“Mereka telanjangkan saya bulat-bulat sambil menghunus parang panjang selepas saya merayu tak ada duit nak diberikan.
“Mungkin mereka fikir saya ada sembunyikan barang berharga selepas kali pertama merompak mereka mengambil komputer riba milik seorang lagi anak yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Sampai hati mereka aibkan saya sedemikian rupa, sedangkan tubuh badan yang mereka telanjangkan ini tidak ubah seperti tubuh badan ibu sendiri,” katanya, di sini semalam.
Turut hadir, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Permas, Syed Othman Syed Abdullah yang berkesempatan menghulurkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan kepada keluarga terbabit.
Salmina berkata, hidupnya hanya bergantung harap kepada wang pencen suaminya dan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk Syafikah.
Katanya, wang itu digunakan secara berjimat-cermat untuk membeli lampin pakai buang Syafikah, barangan dapur dan bekalan ubatnya yang menghidap sakit tulang, kencing manis dan darah tinggi.
“Saya masih bersama suami tapi dia jarang balik...ni pun dah lama dia tak pulang menjenguk kami sehingga Syafikah kerap memanggil-manggil nama ayahnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment