Aug 31, 2012

Kes simbah cat, asid: Ahli NGO khuatir keselamatan diri


Bersama Penduduk Pengerang

Sidang Media Bersama Ngo Pengerang

Kes simbah cat, asid: Ahli NGO khuatir keselamatan diri
Syed Othman (kanan) bersama Woan Tyug (tengah) dan ibunya, Tan Ah Yeng (kiri) menunjukkan keretanya yang disimbah cecair dipercayai asid hingga menyebabkan kerugian
PASIR GUDANG - Seramai 50 ahli badan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Pengerang melahirkan kebimbangan tentang keselamatan mereka selepas berlakunya dua kes simbahan cat dan asid melibatkan ahli pertubuhan itu sebelum ini.

Naib Pengerusi NGO Gabungan Pengerang, Sim Seng San berkata, pada April lalu, sebuah kedai milik salah seorang ahli mereka turut disimbah cat yang dipercayai berlaku ekoran dia terlibat dalam aktiviti NGO terbabit.

"Perkara itu semakin menjadi-jadi apabila seorang ahli kami turut menerima nasib yang sama, Rabu lalu. Keretanya telah disimbah cecair dipercayai asid manakala hadapan rumah ibunya turut disimbah cat merah.

“Walaupun mereka membuat laporan kepada pihak berkuasa, kami tetap khuatir dengan nasib ahli-ahli yang lain pula. Kami bimbang dengan keselamatan kerana mana tahu selepas ini, mungkin saya atau ahli-ahli yang lain,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Sementara itu, mangsa, Goh Woan Tyug, 31, berkata, dia menyedari keretanya jenis Proton Persona disimbah cecair dipercayai asid pada 29 Ogos lalu, pada jam 6.45 pagi ketika mahu pergi kerja.

“Kemudiannya, ibu memberitahu rumah di Kampung Jawa, Pengerang turut disimbah cat berwarna merah. Saya tinggal di Sungai Rengit dan jarak perjalanan dari rumah sewa saya ke rumah ibu kira-kira 15 minit perjalanan.

“Saya syak mungkin orang sama lakukan perkara ini. Saya kesal dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini. Lagipun saya tidak rasa bersalah kerana aktif dalam NGO ini kerana niat saya mahu menyelamatkan kampung kami,” katanya yang juga bertindak sebagai Naib Setiausaha NGO Gabungan Pengerang.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, dia akan membawa perkara itu ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) selewat-lewatnya minggu depan kerana ia berkaitan jaminan keselamatan.

“Saya juga akan membawa perkara ini kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk dibangkitkan dalam sidang Parlimen akan datang. Saya juga mahu berjumpa dengan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff supaya diberi perhatian tentang insiden ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment