Jun 30, 2011
RUMAH DI GELEDAH TANPA SURAT PERINTAH,KERANA NAK CARI HAND BIL BERSIH
JOHOR BAHRU – Seorang peniaga wanita rasa teraniaya apabila rumahnya di Kampung Sungai Danga, Taman Perling digeledah oleh seramai lebih kurang 10 anggota polis tanpa menunjukkan terlebih dahulu surat perintah geledah rumah, tiga hari yang lalu.
Menceritakan kembali kejadian tersebut, mangsa, Nor Faizah Palik, 47, berkata, dia ditahan oleh sekumpulan anggota polis berpakaian biasa ketika sedang berniaga air tebu di pasar malam Jalan Sutera Merah, Taman Perling, kira-kira jam 10.30 malam.
“Mereka menahan saya dengan alasan memiliki sehelai risalah yang berkaitan Perhimpunan Bersih 2.0 serta tertulis pelbagai perkara yang langsung saya tidak difahami. Saya memperoleh kertas itu daripada individu yang lain.
“Mereka mengesyaki saya terlibat dalam hal tersebut lalu menahan saya dan dibawa ke balai polis Taman Perling untuk menjalani siasatan.
“Kemudian saya cuba dibawa semula ke balai polis Taman Impian Emas. Ketika dalam perjalanan, mereka membuat keputusan berpatah balik ke rumah saya semula,” katanya ketika sidang media, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Dewan Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kaiat dan Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, Syed Othman Syed Abdullah.
Nor Faizah berkata, ketika tiba di rumah, kira-kira jam 2.45 pagi, kesemua anggota polis tersebut telah bertindak menggeledah rumahnya tanpa menunjukkan dahulu surat perintah geledah yang seolah-olah cuba menceroboh kediamannya tanpa mendapatkan keizinannya.
“Anak-anak saya yang berada di dalam rumah tersebut turut telah dihalau keluar. Habis pakaian dan perkakas di rumah bersepah kerana dipercayai cuba mencari risalah terbabit. Namun mereka menemui apa-apa pun.
“Selepas itu, saya dibawa pula ke balai polis Taman Impian Emas, di sana, saya turut disoal siasat lagi oleh pegawai yang berkenaan dan dibenarkan pulang lebih kurang, kira-kira jam 3.45 pagi dan diberikan surat yang menyatakan dipanggil hadir ke mahkamah pada 10 Julai nanti tanpa diketahui alasan yang kukuh,” katanya.
Tidak berpuas hati dengan perkara tersebut, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Sentral, semalam, berikutan rasa teraniaya dengan alasan yang tidak munasabah itu.
Sementara itu, Syed Othman berkata, perkara tersebut dianggap seolah-olah mereka cuba menyalahgunakan kuasa kerana setiap kediaman yang digeledah hendaklah mendapatkan surat izin mahkamah dahulu.
“Kami amat kesal dengan tindakan mereka. Buat masa ini, kami akan cuba membantunya dengan mengumpulkan dokumen dan bukti yang berkaitan untuk dihantar ke peringkat pusat nanti,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment