Jan 5, 2011

UMNO JOHOR GUNA POLIS HALANG ANWAR CERAMAH

Di sebalik reputasi sebagai kubu kuat BN, kehadiran ketua umum PKR untuk kempen pilihan raya kecil Tenang menimbulkan peluh dingin di kalangan pemimpin BN.

Di dua ceramah pada 4hb malam tadi, polis terus bertindak sebaik sahaja Anwar mengambil tempatnya untuk berpidato.

Sebagai kontras, ucapan beberapa pemimpin Pakatan rakyat yang lain tidak dihiraukan dan dibiarkan berlarutan.

“Bila pemimpin lain berucap, tiada ganguan. Bila Anwar berucap, polis akan terus menganggu dan menghentikannya.

“Umno Johor cukup gusar dengan kehadiran Anwar kerana beliau cukup berpengaruh di sini, khususnya ketika menjadi timbalan perdana menteri,” kata ketua penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman.

Pada majlis pertama di Kampung Ayer Panas, jalan menuju ke tempat itu dibarisi kenderaan polis dan sekatan jalan raya.

Menurut orang ramai, kehadiraan polis yang ramai itu menakutkan masyarakat setempat untuk keluar menghadiri majlis berkenaan. Hanya kira-kira 300 orang hadir.

Apabila tiba giliran Anwar berucap pada jam 9.45 malam semalam, polis terus bertindak dan mengarahkan ceramah berkenaan dihentikan. Anwar akur dan bergerak menuju majlis keduanya di Felda Cempelak.
Meriam air

Ceramah di Felda Cempelak berjaya menarik lebih ramai hadirin - kali ini sekitar 3,000 orang, meskipun dengan kehadiran anggota polis yang tetap ramai dan diperlengkapkan dengan dua trak meriam air.

Anwar mengambil tempatnya di pentas utama pada jam 10.45 malam selepas ucapan pemimpin lain seperti ketua PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Mazlan.

Sebaik sahaja mahu mula berucap, polis naik ke pentas untuk menghentikan ketua pembangkang itu. Pihak penganjur juga gagal memujuk polis supaya membenarkan Anwar untuk berucap dan semua peralatan pembesar suara juga dirampas.

Tanpa menghiraukan larangan itu, Anwar meneruskan ceramah menggunakan hailer. Namun hanya mereka yang berada berdekatan dapat mendengar.

Polis membiarkan ceramah itu berterusan selama kira-kira 40 minit sehinggalah Anwar menimbulkan isu Apco Worldwide, sebuah firma antarabangsa yang diupah oleh pentadbiran Najib.

“Apabila Anwar timbulkan Apco Worldwide, polis terus mengepung kawasan itu. Bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini kami terpaksa menamatkan ceramah itu,” kata Mazlan yang juga timbalan pengarah kempen pilihan raya kecil PAS bagi kerusi Tenang.

Penamaan calon pilihan raya kecil DUN Tenang dijadualkan pada 22 Januari ini, manakala pengundian ditetapkan pada 30 Januari jika ada pertandingan.

No comments:

Post a Comment