Nov 28, 2009

MENGAPA ADUAN CHENG LEE WHEE KEPADA POLIS BOLEH DI JADIKAN JENAYAH ...?

Pertubuhan-Pertubuhan dan Parti-parti politik di Johor menuntut supaya dakwaan ke atas Cheng Lee Whee digugurkan.



Berikut merupakan Kenyataan Bersama Pertubuhan-pertubuhan dan Parti-parti politik Negeri Johor ke atas dakwaan Cheng Lee Whee dibawah Kanun Keseksaan Seksyen 182 yang berkenaan dengan tindakan membuat laporan polis untuk mempertahankan hak-hak penduduk Kampung Baru Plentong Tengah: -



Merujuk kepada peristiwa penangkapan Cheng Lee Whee di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, seksyen 28 dan seterusnya juga disiasat dan didakwa dibawah Kanun Keseksaan Seksyen 182 akibat daripada tindakannya yang memaparkan kandungan laporan polis di Portal Polis Kontinjen Johor (www.polisjohor.gov.my) dan membuat laporan polis di Balai Polis Permas Jaya demi mempertahankan hak penduduk-penduduk KBPT. Laporan polis berkenaan dengan penangkapan 27 orang akibat kes pengusiran secara paksa yang berlaku di Kampung Baru Plentong Tengah pada 16hb Oktober 2008. Pihak polis memanggil Cheng untuk mengambil keterangannya pada 17hb Oktober jam 8.30 malam di Balai Polis Seri Alam, dan seterusnya polis melakukan tangkapan Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 Seksyen 28. Cheng, Kemudiannya ditahan di lokap balai Polis Pasir Gudang selama 19 jam. Pada keesokan hari, Cheng telah dibawa ke Majistret oleh pihak berkuasa untuk memohon Reman penahanan, Namun Majistret telah menolak pemohonan tersebut, dan Cheng telah dilepaskan pada hari tersebut. Jabatan Penguam Negara (Bahagian Pendakwaan) telah mendakwa Saudari Cheng secara rasmi dibawah Kanun Keseksaan Seksyen 182 di Majistret Jenayah Johor Bahru pada 14hb October 2009 (no file: 83-4411-09(1)). Pembicaraan Kes Saudari Cheng akan diadakan pada 16hb December 2009.



Saudari Cheng Lee Whee, merupakan siswazah lepasan UTM di dalam jurusan Sains Komputer dengan kelas pertama pada tahun 2004. Selepas memperolehi ijazah, Saudari Cheng bekerja sebagai profesional IT dan prihatin di dalam kerja-kerja masyarakat. Saudari Cheng selaku Ketua Bahagian Perkhidmatan Hak Asasi Suaram Johor Bahru (sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak asasi di Johor) telah membuat aduan dan laporan polis tersebut atas arahan daripada Suaram Johor Bahru.

Kandungan Laporan Polis Cheng Lee Whee adalah sah dan benar. Kami berpendapat bahawa tindakan pihak polis yang menggunakan gerombolan pasukan yang terlampau besar untuk membantu pihak pemaju menjalankan perobohan rumah dan pengusiran paksa adalah satu tindakan yang salah. Mengikut prosedur undang-undang, sebelum perbicaraan dan keputusan tentang kes rayuan penangguhan perobohan rumah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, pemaju tidak dibenarkan untuk melaksanakan perintah mahkamah untuk merobohkan rumah. Menurut Oriental Daily pada 17hb October 2008, OCPD Seri Alam Supt Roslan Zainuddin menyatakan bahawa pihak polis menghantar 553 anggota polis yang terdiri daripada pelbagai unit, termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang dilengkapi dengan kereta meriam air (water cannon), Unit Udara Polis, Unit Marin Polis, Unit Anjing Pengesan, Unit Pemusnah Bom, serta helikopter untuk berhadapan dengan penduduk kampung yang hanya seramai 200 orang penduduk yang tidak mempunyai sebarang senjata.

Dakwaan Polis bahawa “pihak pemaju telah mendapat perintah mahkamah, manakala pihak Polis hanya membantu melaksanakan perintah mahkamah” adalah tidak wajar dan tidak munasabah. Tindakan polis yang menyuraikan penduduk dan melakukan tangkapan secara keras dan ganas ke atas penduduk-penduduk yang cuba mempertahankan tempat tinggal mereka secara aman, sebenarnya adalah tindakan yang menyebelahi pihak pemaju yang melakukan pengusiran secara haram dan mencabuli hak asasi penduduk.

SUARAM telah membuat pengaduan dan menghantar memorandum sebanyak 5 mukasurat berkenaan pengusiran paksa yang dilakukan di Kampung Baru Plentong Tengah dan penyalahgunaan kuasa dalam penangkapan pihak polis kepada SUHAKAM pada 24hb Oktober 2008. Pesuruhanjaya SUHAKAM Dato Khalid Ibrahim menyatakan keganasan Polis memang ketara dalam insiden ini.



Kami berpendapat bahawa pendakwaan Jabatan Penguam Negara (Bahagian Pendakwaan) ke atas saudari Cheng Lee Whee merupakan satu penindasan berlanjutan ke atas pejuang hak asasi manusia. Laporan polis dan aduan yang dibuat oleh Saudari Cheng bukan merupakan tindakan individu, malah tindakan itu mewakili Suaram serta seluruh NGO-NGO dan individu-individu lain di negeri Johor mahupun di seluruh negara yang memperjuangkan hak asasi. Pendakwaan keatas Cheng juga merupakan penindasan terhadap Suaram dan Badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan juga penindasan keatas mana-mana persatuan dan parti yang mempertahankan kebenaran dan menghormati hak asasi manusia. Kesimpulannya, pendakwaan ke atas Cheng Lee Whee merupakan satu titik hitam ke atas usaha negara kita untuk mewujudkan sebuah negara yang mengamalkan sistem politik demokratik.



Kami berpendapat bahawa Saudari Cheng membuat aduan di Balai Polis merupakan satu tindakan yang menjalankan hak demokrasi serta menjalankan kewajiban sebagai seorang rakyat Malaysia. Tindakan beliau tidak berniat buruk dan tidak bermotifkan kemudaratan mana-mana pihak. Bagaimana perlakuan ini boleh dikatakan sebagai satu jenayah?



Dengan itu, pihak berkuasa harus mengugurkan sebarang pendakwaan ke atas saudari Cheng Lee Whee



TANDATANGAN:

1. Suara Rakyat Malaysia

2. Friends Of Suaram Johor (Suaram Johor)

3. DAP Cawangan Taman Tun Aminah

4. Parti Keadilan Rakyat Cawangan Gelang Patah

5. Parti Keadilan Rakyat Cawangan Pulai

6. MIC Cawangan Skudai

7. Kelab Penyokong PAS Johor

No comments:

Post a Comment