Nov 16, 2009

AZMIN MAHU SAMAN VICKNESWARAN


Azmin mahu saman Vickneswaran

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia, S A Vickneswaran kerana memfitnahnya.

Sambil menafikan dakwaan memiliki dokumen berkaitan pembelian saham melibatkan mencecah RM8 juta pada awal 1990-an, Azmin berkata, beliau juga mahu menyaman pihak yang menerbit atau menyiar fitnah berkenaan.

Beliau percaya, dokumen yang didakwa Vickneswaran itu dimanipulasikan oleh pihak tertentu secara terancang untuk mencemar nama baiknya sebagai Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Gombak.

"Saya telah pun mengarahkan peguam saya untuk bertindak segera berdasarkan prosiding perundangan yang sewajarnya terhadap pihak yang membuat kenyataan dan melaporkan kenyataan fitnah.

"Saya merasa kesal kerana apa yang berlaku menunjukkan Barisan Nasional (BN) tidak akan berhenti daripada melancarkan serangan fitnah yang jahat untuk mengganggu keamanan dan ketenteraman saya dan keluarga," katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan bekas Ahli Parlimen Kota Raja itu berkaitan pembelian saham mencecah RM8 juta melibatkan tiga invividu, termasuk Azmin pada awal 1990-an yang disiarkan beberapa akhbar semalam.

Dokumen itu didakwa diterima daripada seorang lelaki tidak dikenali yang menyerahkannya kepada pengawal keselamatan di rumahnya di Kota Kemuning.

Azmin berkata, semenjak tahun 1998, beliau dan keluarga sering menjadi sasaran fitnah bertujuan untuk mengaibkan dirinya dan keluarga.

"Saya diburu oleh pihak berkuasa seperti polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR pada masa itu) dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menjalankan siasatan mengenai perolehan harta saya.

"Malahan, alasan yang sama digunakan untuk menangkap dan menahan saya pada 16 September 1998 sehingga 22 September 1998. Saya telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk butiran lengkap aset kami," katanya.

No comments:

Post a Comment