Oct 16, 2009

TEOH BENG HOCK BAKI AKAUN RM 3,611.36

SHAH ALAM - Walaupun merancang untuk mengadakan majlis resepsi beberapa bulan sebelum maut, baki wang dalam dua akaun simpanan milik Setiausaha Politik Exco Selangor Teoh Beng Hock hanya berbaki RM3,611.36.

Penyata: akaun yang dikemukakan wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa menunjukkan baki akaun Beng Hock pada tarikh 13 Julai lalu ialah sebanyak RM2,569.30 manakala satu lagi akaun berbaki RM1,042.06.

:Berdasarkan penyata itu juga, didapati terdapat kemasukan tetap sebanyak RM1,865.85 setiap bulan bermula pada Jun 2008 sebelum ia menjadi RM2,167.85 pada April lalu.

Abdul Razak mengemukakan penyata akaun itu semasa menyoal Ketua Unit Siasatan SPRM Selangor Pemangku Pesuruhjaya Hairul Ilham Hamzah pada prosiding inkues di sini, semalam.

Tindakan mengemukakan penyata bank itu dibantah peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Beng Hock.

“Penyata kewangan seseorang adalah sangat sulit. Polis dan SPRM dibenarkan tetapi hanya untuk tujuan tertentu. Bagaimana ia relevan untuk menunjukkan fikiran seseorang?

“Ia seperti mengatakan orang miskin terjun bangunan manakala orang kaya tidak,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Razak menjelaskan perkara itu relevan bagi menjelaskan pendapatan bulanan Beng Hock, selain menyokong teori mendiang memerlukan wang untuk mengadakan majlis perkahwinan yang disifatkan terdesak.

Isu masalah kewangan pernah dibangkitkan Abdul Razak semasa menyoal abang Beng Hock, Teoh Meng Kee, 33, dengan menyatakan mendiang mempunyai masalah bagi menyegerakan perkahwinan selepas tunangnya hamil.

Sementara itu, Hairul Ilham yang dipanggil sebagai saksi inkues ke-27 mengakui reaksi pertamanya bila diberitahu mengenai penemuan mayat Beng Hock di tingkat lima, Plaza Masalam, di sini pada 16 Julai lalu sebagai blank (kosong).

“Saya blank. Saya tidak tahu apa perlu dibuat,” katanya.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa tindakannya tidak menghubungi Beng Hock meskipun menemui beg dan telefon bimbit mendiang di pejabat SPRM ialah disebabkan dia tahu apa yang berlaku.

Hairul Ilham juga memberitahu, dia bersama Pegawai Penyiasat kes melibatkan Beng Hock, Mohd Anuar Ismail meronda sekitar pejabat SPRM untuk mencari Beng Hock selepas beg itu dijumpai.

Prosiding inkues bersambung Jumaat ini. sumber

No comments:

Post a Comment