Oct 23, 2009

ONG TEE KEAT DAN CHUA SOI LEK BERDAMAI


KUALA LUMPUR: Dalam satu perkembangan terbaru semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bersetuju untuk bekerjasama sebagai satu pasukan untuk menyatukan parti dan menyelesaikan semua isu berkaitan kepimpinan parti.

Tee Keat berkata persefahaman itu adalah sebagai usaha 'pelan perpaduan' demi kepentingan parti itu.

Bercakap kepada para pemberita dalam satu sidang media khas di Wisma MCA hari ini, Tee Keat juga berkata ketika ini adalah masa yang sesuai untuk 'memaafkan dan melupakan'.

"Kita melihat kepada matlamat yang lebih besar iaitu bukan untuk kepentingan individu, tapi untuk parti," katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai kedudukan Timbalan Presiden yang baru, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Tee Keat berkata tiada sebarang perubahan seperti yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat (CC).

"Isu perubahan itu tidak timbul, ia telahpun diputuskan oleh CC, jadi tak ada apa-apa perubahan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Chua yang turut sama dalam sidang media tersebut berkata, matlamat utamanya ialah untuk membantu memperkukuhkan dan menyatupadukan MCA.

"Walaupun saya tidak mempunyai jawatan yang tertentu dalam parti, tetapi saya perlu mengambil maklum bahawa hampir 47 peratus perwakilan MCA masih memberikan sokongan yang padu kepada saya.

"Oleh itu saya berpendapat saya masih boleh menyumbang kepada proses untuk menstabilkan parti bagi memastikan ahli-ahli bersatu padu dan terus bekerja sebagai satu pasukan serta untuk menjamin MCA kekal relevan dalam konteks perjuangan politik Barisan Nasional (BN)," katanya.

Dalam sidang media itu juga, Dr Chua turut menjelaskan spekulasi yang mengatakan beliau mengemukakan rayuan kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi mengkaji mengenai kedudukannya sebagai Timbalan Presiden.

"Saya telah menyatakan secara terbuka bahawa saya menerima keputusan perwakilan yang dibuat pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) lalu.

"Saya ada menulis surat kepada ROS tapi bukan untuk merayu, hanya nak dapatkan pandangan berkaitan kedudukan saya sama ada masih Timbalan Presiden ataupun tidak berdasarkan keputusan CC bahawa saya hanya digantung sebagai ahli MCA... itu sahaja.

"Kalau katakan saya pergi merayu adalah tidak betul, saya hanya nak dapat kepastian daripada ROS, namun hingga hari ini saya belum dapat apa-apa jawapan," katanya.

Sementara itu, Tee Keat menambah, beliau dan bekas timbalannya itu akan mencari jalan untuk membuka ruang kepada kedua-dua belah pihak memainkan peranan yang lebih besar demi masa depan MCA.

Tegas Tee Keat, pelan damai ini telahpun dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sebagai pengerusi Barisan Nasional, beliau telah memberi restunya.

Tambah Tee Keat, beliau juga menerima cadangan daripada timbalannya yang baru Datuk Seri Liow Tiong Lai supaya kepimpinan parti bekerjasama lebih rapat dalam menyelesaikan krisis ini.

Katanya lagi, beliau juga akan berbincang dengan Setiausaha Agung parti, Wong Foon Meng untuk meneliti semula cadangan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang kedua.

Ditanya mengenai kedudukannya sebagai Presiden selepas EGM lalu, Tee Keat berkata pada masa ini beliau dan keseluruhan pemimpin MCA akan memberi tumpuan kepada usaha memulihkan parti.

"Saya dah menyeru kepada semua pemimpin termasuk saya sendiri, bahawa kami ada kerja yang masih belum selesai.

"Kami perlu memberikan komitmen yang sepenuhnya... ini adalah soal kepercayaan umum, apa yang diputuskan semasa EGM lalu juga akan kita beri perhatian," katanya.

No comments:

Post a Comment