Oct 21, 2011

SERAH MEMORANDUM DI PEJABAT MB JOHOR

NUSAJAYA - Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Pangsa Kos Sederhana Taman Mount Austin, menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, di pejabatnya, Kota Iskandar, di sini, semalam.

Memorandum itu diserahkan oleh pengerusinya, Suhaini Mat Isa kepada Ketua Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Mohd Haffiz Ahmad, sekitar jam 11 pagi.

Suhaini berkata, penyerahan memorandum yang disertai oleh 25 pembeli lain bertujuan untuk mendapatkan perhatian dan tumpuan daripada menteri besar berhubung masalah perumahan terbabit yang terbengkalai sejak tujuh tahun lalu.

Katanya, inisiatif itu adalah yang terakhir di peringkat negeri dan dijangka akan dibawa ke sidang Dewan Rakyat (Parlimen) sekiranya tiada sebarang maklum balas positif diterima.

“Kebanyakan pembeli rumah pangsa ini berpendapatan rendah. Selepas penyerahan memorandum ini, jika masalah dibangkitkan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu, kami akan ke peringkat Parlimen untuk bertemu Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam sidang akhbar, di sini.

Katanya, pihaknya turut meminta supaya isu terbabit tidak dipolitikkan hanya kerana jawatankuasa berkenaan menggunakan saluran Pusat Aduan Rakyat (PAR) bagi mencari jalan penyelesaian.

“Saya tidak mahu isu ini dikaitkan dengan pembangkang. Kami sudah berjumpa dengan pihak kerajaan sebelum ini dan meminta tolong agar masalah dihadapi dipandang serius.

“Kami cuma mahu hak kami sahaja. Sejak saya memperjuangkan masalah ini, saya sedar bagaimana pihak berkenaan melayan tuntutan dibuat. Tolonglah jangan humban kami dalam politik,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga mengalu-alukan Adun Puteri Wangsa, Datuk Abdul Halim Suleiman, untuk bertemu dengan pihaknya di kawasan rumah terbengkalai itu pada Ahad ini.

Selain itu, katanya, kerajaan diharapkan dapat bertindak menyingkir pemaju yang gagal membina perumahan berkenaan dan menggantikan dengan syarikat lain.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, Kerajaan Negeri diharapkan dapat bertindak seperti yang diharapkan pembeli kediaman dalam tempoh masa diberikan.

No comments:

Post a Comment