Oct 20, 2011

PAR SEDIA BANTU




PASIR GUDANG - Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas bersedia membantu mangsa yang didakwa dirogol bapa tiri pada pertengahan tahun 2009 ketika mangsa baru berumur 13 tahun.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ita, 15, tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam bersama Penyelia PAR, Syed Othman Syed Abdullah dan Peguam, Jimmy Puah.

Syed Othman berkata, pihaknya telah melantik seorang peguam, Jimmy Puah untuk membantu mangsa mendapatkan pembelaan tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Kita bersedia membantu mangsa dari segi bantuan guaman tanpa dikenakan sebarang bayaran untuk mengheret bapa tiri dan sesiapa sahaja yang terlibat ke muka pengadilan.

“Mangsa yang kini sudah berumur 15 tahun mula lahir kesedaran atas diri sendiri selepas kejadian dua tahun lepas tiada pembelaan daripada ibu kandung yang selama ini menjadi tempat bergantung harap,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di IPD Seri Alam, di sini, semalam.

Syed Othman berkata, PAR juga bersedia membantu dari segi kebajikan dan keselamatan mangsa yang kini mendapat perlindungan daripada keluarga angkat.

Menurutnya, pihaknya berharap agar pihak polis dapat menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat.

“Kita akan membela dari segi kebajikan dan bersedia menanggung persekolahan mangsa sekiranya berminat menyambung pelajaran, selain akan lebih kerap membuat pemantauan untuk keselamatan mangsa termasuk di rumah keluarga angkat.

“Mangsa memang berharap dapat bersama ibu kandungnya lagi memandangkan ibu adalah satu-satunya tempatnya bergantung harap kerana tidak pernah mengenali bapa kandung sendiri,” katanya.

Sementara itu, Jimmy berkata, walaupun kejadian itu berlaku kira-kira dua tahun lalu, tetapi mengikut undang-undang kes jenayah tidak mempunyai tempoh tertentu.

Menurutnya, kes itu boleh disiasat di bawah Seksyen 375 (F) Kanun Keseksaan di bawah jenayah rogol yang mana mangsa di bawah umur 16 tahun sama ada secara suka atau tidak boleh disabitkan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Sekiranya terbukti bersalah, pelaku boleh dijatuhkan hukuman minima lima tahun dan maksima 20 tahun penjara berserta sebatan di bawah seksyen berkenaan” katanya.

Akhbar ini kelmarin menyiarkan kehidupan seorang remaja yang mendakwa bukan sahaja dirinya tidak mendapat pembelaan selepas didakwa dirogol bapa tiri dua tahun lalu, malah dia juga terpaksa menumpang kasih keluarga angkat selepas dihalau ibu kandung sejak dua minggu lalu.

No comments:

Post a Comment