Mar 10, 2010

Tolak Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, Tutup Kelemahan BN

PULAU PINANG 9 MAC: Keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan bertujuan menutup kelemahan kerajaan Umno-BN yang ketandusan idea bagi membaiki kehidupan rakyat.

Bercakap kepada TV Selangor, Liew Chin Tong kesal kerana Najib secara semberono menolak cadangan itu semata-mata kerana idea berkenaan datangnya dari kerajaan Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Bukit bendera itu turut menggesa Najib supaya mempertimbang dan meneliti cadangan itu terlebih dahulu sebelum dibakulsampahkan demi kebaikan rakyat keseluruhan.

"Kerajaan Umno-BN tiada idea untuk memajukan, membela rakyat. Tapi apabila Pakatan Rakyat mengemuka idea bernas, mereka tolak kerana ia cadangan pihak lawan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Haniza Talha berpendapat pilihan raya tempatan dapat melahirkan ahli majlis yang berwibawa dan berjiwa rakyat.

Tegasnya, seseorang ahli majlis yang menjalani proses pemilihan melalui pilihan raya secara automatik dapat membina sifat bertanggungjawab kepada rakyat akar umbi.

Ini, kata beliau, bakal mendorong mereka berusaha menyelesaikan setiap aduan penduduk bagi mengekalkan kedudukannya di hati rakyat.

Beliau juga mengingatkan Najib bahawa pilihan raya kerajaan tempatan sepertimana pilihan raya lain, terhad kepada tempoh tertentu dan bukan berlangsung sepanjang masa.

Haniza menegaskan peranan ahli majlis penting kerana bidang kuasa mereka tertakluk kepada menggubal undang-undang kecil di peringkat kerajaan tempatan.

"Ia secara langsung melibatkan faktor keselesaan dan kepentingan penduduk setempat," katanya.
SUMBER TV

No comments:

Post a Comment