Mar 2, 2010

Salehuddin Marah Hasrat Jadi CEO Ditolak

Fazallah Pit

DAMANSARA 2 MAC: Bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Salehuddin Hashim keluar parti berikutan marah kepada pimpinan parti apabila tuntutan untuk memperoleh layanan istimewa tidak dilayan.

Timbalan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Husin Ali berkata kemarahan Salehuddin memuncak apabila permohonannya untuk menjadi CEO Kumpulan Perangsang yang membawa gaji RM50,000 sebulan, ditolak.

Dalam kenyataan media hari ini, Syed Husin berkata, permohonan itu dibuat tidak lama sebelum Salehuddin meletak jawatan.

Katanya, Salehuddin juga menuntut US3,000 sebulan untuk berkhidmat dalam parti tapi beliau hanya dibayar RM9,000 sebulan yang dibuat seorang penyokong PKR.

Mengenai dakwaan Salehuddin, kononnya 10 Ahli Parlimen bakal keluar parti, Syed Husin berkata: "Dengan maklumat yang ada pada saya, ini hanya tuduhan melulu bersifat perang urat saraf yang tidak mempunyai asas kukuh."

Syed Husin menegaskan, beliau tidak tahu dan tidak ingin tahu apakah peranan yang dimainkan Salehuddin Hashim di sebalik pembelotan pemimpin PKR kebelakangan ini.

"Salehuddin menafikan tuduhan sesetengah pihak bahawa beliaulah di belakang tindakan Anggota Parlimen yang keluar parti dan saya mempercayainya," katanya.

Beliau berkata, semua orang tahu betapa semua ADUN dan Ahli Parlimen yang keluar parti sebenarnya mempunyai masalah kewangan ataupun masalah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Namun, tidak dinafikan ada juga masalah pribadi dengan pimpinan parti atau kerajaan negeri. Boleh dikatakan semuanya menemui Perdana Menteri, Datuk Najib Razak dan ada kalanya isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, sebelum bertindak keluar," katanya.

Syed Husin berkata, PKR bagaimanapun berterima kasih kepada Salehuddin yang memberikan khidmat baik kepada parti selama enam tahun, tiga tahun sebagai Setiausaha Pengelola dan tiga lagi sebagai Setiausaha Agung.

"Saya memang tahu selama beliau berkhidmat dengan baik, sikap Salehuddin terhadap Parti, terutama pimpinannya, sering turun naik," katanya.TV Antara

1 comment:

  1. Pemimpin PKR mesti terus menghebahkan nafsu wang para 'pemimpin' yang keluar PKR. Kami ahli PAS memang sedia tahu kerenah suku sakat UMNO yang ada dalam PKR. Begitulah yang terjadi kepada Semangat 46 dahulu. Lihat, akhirnya berkubur parti itu. Namun, saya yakin PKR tidak begitu. Rakyat teguh di belakang PR bukan katak-katak itu.

    ReplyDelete