Mar 29, 2010

Nik Aziz tolak sidang Dewan Undangan Negeri khas bincang konflik istana

MACHANG - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam menolak cadangan menganjurkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas bagi membincang dan menyelesaikan konflik istana.

Katanya, tindakan mengadakan sidang DUN khas itu tidak membantu menyelesaikan masalah, malah akan memburukkan lagi keadaan.

“Masalah Istana adalah masalah teknikal dan perlu diselesaikan dengan berhemah. Ia adalah isu yang berkaitan kesayangan orang Melayu. Kita selesailah cara diam (baik). Kalau tidak, terpaksalah menggunakan Perlembagaan.

“Rakyat jangan mudah melatah. Bertenang dan marilah sama-sama kita berdoa agar masalah ini selesai secepat mungkin," katanya ketika diminta mengulas cadangan Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan agar sidang DUN khas diadakan bagi membincangkan kemelut istana.

Nik Abdul Aziz berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kilang Nutraseutikal dan Memeterai Perjanjian Kelantan Biotech Corp Sdn Bhd dan Global Biotech Produce Sdn Bhd di Labok, dekat sini.

Turut hadir adalah Exco Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), Che Abdullah Mat Nawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir Mustafa Salleh.

Dalam masa yang sama, Nik Abdul Aziz, yang juga Mursyidul Am Pas, turut mengajak rakyat bersama-sama mendoakan Sultan Kelantan kembali pulih dari kegeringan.

“Pada pandangan saya, Tuanku masih gering dan untuk kembali sihat seperti sedia kala, baginda memerlukan masa. Saya berharap, seluruh rakyat mendoakan kesihatan dan kesejahteraan baginda.

“Buat sementara waktu tampuk pemerintahan diserahkan kepada Tengku Mahkota (Tengku Muhammad Faris Petra) dan saya percaya baginda mampu memandu Kelantan secara rohani dan fizikal,” katanya. SUMBER SINAR

No comments:

Post a Comment