Jan 31, 2010

Anwar: JJ ketuai usaha Umno 'pikat' MP PKR

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujudnya usaha Umno untuk 'memikat' beberapa ahli parlimen parti itu, termasuk ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.

Anwar berkata, usaha tersebut diketuai oleh bekas menteri kabinet, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis dan juga pemimpin Parti Cinta Malaysia, Huan Cheng Guan, yang menghubungi Azan melalui telefon bimbit.

"Azan beritahu secara khusus bahawa Huan daripada Parti Cinta Malaysia cuba untuk pikat dia," katanya yang menerima bukti hubungan itu dibuat melalui telefon bimbit Azan.

"Dan pastinya Datuk Jamaludin mewakili (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) untuk cuba memujuk dan memberi jaminan apa yang beliau perlu asalkan meninggalkan PKR. Tapi kerana (Azan) tidak layan lebih daripada itu, maka jumlah berapa juta (yang ingin ditawarkan itu) tidak disebut," katanya lagi.

"Maknanya usaha itu berjalan, cara merasuah dan menyogok parti itu ada. Sebab itu saya minta Azan (kanan) ada di sini sendiri untuk mengesahkan Huan (Cheng Guan) daripada Parti Cinta Malaysia dan Datuk Jamaludin Jarjis itu hubungi beliau," tambahnya.

Jelasnya, usaha itu mengambarkan tawaran untuk Azan meninggalkan PKR dalam masa terdekat.

Katanya lagi, ahli parlimen Balik Pulau Yusmadi Mohd Yusuff (kiri) juga disahkan menerima pelawaan seperti itu.

"(Yusmadi) ada (dalam mesyuarat) dan beritahu (pelawaan) itu semua karut," katanya lagi dan menambah usaha berkenaan termasuklah usaha untuk merampas kerajaan Pakatan di Selangor.

"Semua ini termasuk hendak rampas Selangor, hendak dakwa Tan Sri Khalid, hendak beli ahli-ahli parlimen dan ADUN nak dilakukan sebelum hari raya Cina kerana bila hari raya Cina keadaan reda selama dua minggu," katanya lagi.

Anwar yang juga ketua pembangkang memberitahu demikian selepas mempengerusikan mesyuarat majlis pimpinan pusat PKR di Tropicana Golf and Country Resort, Petaling Jaya hari ini.

Ditemui Malaysiakini selepas itu, Azan berkata beliau tidak akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menganggap pelawaan itu dibuat atas dasar "kawan baik."

"Saya anggap panggilan telefon itu sebagai panggilan sebagai kawan baik.

"Saya tampil untuk buat penjelasan ini atas tanggungjawab saya kepada orang dalam kawasan saya," tambahnya.SUMBER Malaysiakini

Jan 30, 2010

Bakar Gereja : Hishamuddin Jangan Masuk Campur

Polis Kena Panggil Azmin

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang melarang Polis mengambil keterangan daripada naib presiden PKR Azmin Ali, yang sebelum ini mendakwa mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat dalam kes membakar

dan mendalangi serangan ke atas gereja Metro Tabernacle baru-baru ini.


Sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau tidak boleh memberikan arahan sedemikian demi untuk melindungi ahli partinya. Setiap kali ada kes jenayah dilaporkan, Polis sering meminta bantuan orang ramai untuk mengumpul maklumat. Tetapi bila sudah ada orang yang mahu tampil memberikan maklumat dan bukti, kenapa perlu dihalang?

Walaupun beliau adalah Menteri yang bertanggungjawab, namun bila wujud kes yang melibatkan kepentingan parti dan ahli Umno, maka beliau wajar mengumumkan untuk tidak masuk campur dan menyerahkan urusan siasatan Kes berkenaan dibawah tanggungjawab Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sepenuhnya.

Dalam keadaan sebegini, rakyat jelas melihat bahawa beliau cuba untuk menafikan maklumat Azmin, dan cuba untuk menghalang bukti-bukti disalurkan kepada pihak Polis untuk mendakwa suspek.

Dalam Kes Teoh Beng Hock sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan pantasnya dipanggil memberikan keterangan berikutan dakwaan beliau bahawa Beng Hock dibunuh.Tetapi kenapa bila Azmin berkata beliau mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat membakar gereja beliau tidak dipanggil memberikan keterangan.

PAS mendesak supaya Polis bersikap profesional dan tidak tunduk kepada arahan Menteri dan bersubahat menafikan maklumat dan keterangan rakyat. Jika perkara ini dibiarkan, tidak mustahil selepas ini, ahli-ahli Umno boleh melakukan apa sahaja jenayah dan tidak perlu disiasat walaupun ada rakyat yang mempunyai maklumat dan bukti.

PAS bertegas, agar Polis mengambil keterangan Azmin bagi mengesahkan sama ada dakwaan beliau benar atau tidak. Jika benar ahli Umno terlibat merancang perbuatan ini, maka PAS dan rakyat Malaysia melahirkan rasa sedih di atas perbuatan yang memalukan negara.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Rakyat Tidak Tunduk Kepada Jentera Negara Kuburkan Barisan Nasional (BN) Satu-satunya Jalan Keluar

Ahli Sekretariat Suaram JB, Cheng Lee Whee telah didakwa dibawah Kanun Keseksaan Seksyen 182 kerana tindakan membuat laporan polis untuk mempertahankan hak-hak penduduk Kampung Baru Plentong Tengah (KBPT). Peguam Negara telah mengugurkan dakwaan terhadap Cheng secara rasmi pada 25hb Januari akibat tindakan penyerahan petisyen 35 pertubuhan, parti- parti politik dan lain-lain individu. Jawatankuasa Sahabat Suaram Negeri Johor (FOS Johor) mengeluarkan kenyataan seperti berikut:-

Cheng Lee Whee telah hadir ke Mahkamah Majistret Jenayah 1 Johor Bahru untuk sebutan kedua pada 25hb Januari 2010. Timbalan Pendakwa Raya Umar Sharifuddin Bin Jaafar telah mengugurkan dakwaan terhadap Cheng Lee Whee secara rasmi di hadapan Majistret Mohamad Faud Bin Abdul Ghani dengan kehadiran penguam bela Cheng Lee Whee, iaitu Sdr Hassan Karim dan wakil peguam Johor Bar Committee Cik Navamani dalam kamar majistret (chamber majestrate) lebih kurang jam 10.10 pagi.

Majistret telah mengumumkan penguguran dakwaan terhadap Cheng Lee Whee. Beliau juga dibenarkan menuntut kembali wang jaminan RM1000 daripada mahkamah.

Jawatankuasa Sahabat Suaram Negeri Johor (FOS Johor) berpendapat bahawa penguguran dakwaan terhadap Cheng Lee Whee telah membuktikan bahawa:-

1) Kandungan laporan polis yang dibuat oleh Sdri Cheng adalah sah dan benar. Ini turut membuktikan bahawa tindakan penduduk Kampung Baru Plentong Tengah mempertahankan pengusiran secara paksa dan tindakan sokongan oleh parti-parti politik, pertubuhan dan badan-badan NGO adalah tindakan menegakkan keadilan. Tindakan pihak polis yang menggunakan gerombolan pasukan yang terlampau besar untuk membantu pihak pemaju melaksanakan perobohan rumah dan pengusiran secara paksa adalah satu tindakan yang tidak munasabah dan salah.

2) 35 pertubuhan dan massa dengan tegas menuntut “Penguguran Tudahan terhadap Cheng Lee Whee” merupakan tindakan yang betul dan tepat. Tindakan yang mengutamakan kepentingan rakyat ini telah mendapat sokongan massa rakyat. Ini merupakan satu kejayaan. Penguguran dakwaan terhadap Cheng Lee Whee oleh Peguam Negara itu adalah hasil daripada wujudnya solidariti antara pertubuhan pertubuhan, parti-parti politik dan massa rakyat yang berani berjuang dan tidak menunduk kepada kekerasan jentera Negara.

3) Rentetan dari perjuangan anti-pengusiran paksa hingga Cheng Lee Whee didakwa; tindakan menuntut penguguran dakwaan terhadap Cheng Lee Whee ;dan akhirnya dakwaan itu telah digugurkan - kesemua proses in telah meningkatkan kesedaran rakyat yang telah menyertai perjuangan ini.
Mereka telah faham bahawa masalah- masalah seperti hak asasi rakyat dicabuli; dan represi terhadap perjuangan menentang penganiayaan, bukan semata-matanya masalah “penyalahgunaan kuasa polis” sahaja. Harus difahami bahawa disebalik semua tindakan polis melakukan penganiayaan dan represi terhadap perjuangan rakyat itu, golongan pemerintah dan kerajaan BNlah yang merupakan pesalah utama. Jentera negara seperti polis, mahkamah, penjara dan sebagainya hanya merupakan alat kepada golongan pemerintah dan kerajaan BN sahaja untuk melaksanakan represi terhadap rakyat.
Polis dan mahkamah bukannya sasaran perjuangan rakyat masa kini, sebaliknya golongan pemerintah dan kerajaan BN yang memanipulasikan jentara negara yang harus dijadikan sasaran. Hanya dengan mengkuburkan hegemoni BN, rakyat baharu dapat menemui jalan penyelesaian dan memenuhi aspirasi baru.

Kami menyampaikan penghargaan kami kepada parti-parti politik, pertubuhan-pertubuhan dan peguam bela sukarela Cheng Lee Whee termasuk Hassan Karim, Yeo Yang Poh selaku wakil Majlis Peguam sebagai Peguam Pemerhati dan wakil peguam Johore Bar Committee, Cik Navamani dalam memberi bantuan dan sokongan kepada Cheng dan Suaram JB. Kami berharap kita akan terus memperjuangkan makna demokrasi dan hak asasi di negara ini bersama-sama.

Suaram JB/ Jawatankuasa Sahabat Suaram Negeri Johor (FOS Johor)

______________________________________________________________

Jan 29, 2010

Karpal: Keputusan Mahkamah Persekutuan Timbulkan “Banyak Masalah”

Alasan yang diberikan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini dalam menolak permohonan mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan bahan bukti akan melewatkan kes-kes jenayah umumnya dan bukan sahaja perbicaraan Anwar, kata peguam Karpal Singh.

Tiga hakim mahkamah tertinggi negara menolak permohonan Anwar itu kerana ia dibuat sebelum perbicaraan bermula, kata Karpal. Perbicaraan atas tuduhan fitnah liwat Anwar dijadualkan bermula Selasa depan.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini akan menimbulkan banyak masalah kepada orang. Ia akan membawa kepada kelewatan perbicaraan dalam kes-kes jenayah,” kata Karpal.

Karpal berkata demikian selepas mendengar hujah hakim Mahkamah Persekutuan dalam menolak permohonan Anwar bagi mendapatkan dokumen dan bukti relevan bagi membolehkan beliau menyediakan pembelaan tuntas.

Karpal berkata Mahkamah Persekutuan berpendapat permohonan Anwar itu hanya boleh dilayan setelah perbicaraan bermula, dalam erti kata lain, saksi pertama telah mula memberikan keterangan.

“Jika ini berlaku, maka pihak yang mempertikaikan akses kepada bukti-bukti akan tentunya merayu kepada mahkamah yang lebih tinggi. Tindakan ini pasti diambil bukan sahaja oleh peguam bela tetapi pendakwaraya juga mempunyai hak membantah dan memrayu …semua ini akan melambatkan proses perbicaraan,” kata Karpal.

Karpal berkata peguambela Anwar tentunya akan merayu sekali lagi untuk mahkamah membenarkan Ketua Pembangkang itu diberikan bukti-bukti berkenaan selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini.

Anwar telah meminta salinan kenyataan penuduh Saiful Bukhari Azlan, laporan perubatan yang relevan dan salinan rakaman video di pintu masuk kondominium Jalan Setiakasih Bukit Damansara di mana Salful mendakwa tuduhan fitnah liwat itu berlaku pada Jun tahun 2008 .

Peguam-peguam Anwar memohon untuk diberikan akses kepada bahan bukti itu bagi membolehkan mereka menyediakan soal balas yang bernas terhadap saksi yang dikemukakan oleh pendakwaraya, demi memastikan keadilan.

Jan 28, 2010

POLIS TIDAK PERLU KETERANGAN AZMIN

Apakah maksud Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengumumkan polis tidak akan mengambil keterangan daripada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berhubung

kenyataannya yang mendakwa beliau mempunyai maklumat tentang penglibatan ahli pergerakan Pemuda Umno dalam kes serangan gereja di Desa Melawati awal bulan ini.

Alasan Hishammuddin ialah Azmin bercakap atas kepentingan politik semata-mata.

"Azmin hanya orang politik yang boleh membuat andaian dan tuduhan yang bermacam-macam," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Azmin semalam yang mendakwa beliau mempunyai maklumat tentang penglibatan Pemuda Umno Bahagian Gombak dan Ampang dalam kes membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, pada 8 Januari lalu.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata beliau sedang berusaha mendapatkan nombor kad pengenalan dan nombor keahlian anggota Umno yang didakwa terbabit.

Sementara itu Bernama melaporkan, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, Umno juga boleh membuat tuduhan kepada PKR sekiranya mahu, namun kerajaan mahu menumpukan untuk mengumpul bukti dan fakta terlebih dahulu dan tidak sekali-kali membuat tuduhan sembarangan.

Beliau berkata polis tidak akan pilih kasih dalam sebarang tindakannya setelah bukti yang diperolehi mencukupi tidak kira ia melibatkan orang Umno atau sesiapa sahaja yang didapati terlibat.

"Sekarang polis sudah bertindak termasuk menahan seorang anak pegawai polis. Ini menunjukkan pihak berkuasa tidak pilih kasih dalam tindakan yang penting setelah kita mempunyai bukti untuk dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Jan 27, 2010

SERANGAN KEPALA BABI MENCURIGAKAN

ADUN Taman Medan, Haniza Talha menyifatkan provokasi yang direncanakan UMNO Barisan Nasional gagal membangkitkan kemarahan orang melayu.

Pagi tadi, 2 kepala babi diletakkan diperkarangan 2 masjid berasingan disyaki didalangi UMNO Barisan Nasional.

Haniza berkata UMNO Barisan Nasional lupa kaum Melayu kini bukan berfikiran jumud. Mereka kini pandai menilai situasi semasa.

"Ini adalah usaha untuk membangkit kemarahan orang Melayu. Tapi orang melayu sekarang tidak bodoh. Mereka tahu ini adalah provokasi. Ini taktik lama," katanya.

Beliau berpendirian tindakan ini satu perbuatan khianat untuk melagakan rakyat Malaysia kerana cara bagaimana kepala babi itu ditemui.

"Kalau difikir logik, babi itu dibungkus elok- elok dalam plastik. Menunjukkan bahawa orang yang letakkan kepala babi itu sendiri takut hendak memegang kepala babi itu. Kalau orang bukan islam, mereka tidak takut untuk pegang kepala babi itu. Ini jelas satu provokasi," tambahnya lagi.

Beliau berharap rakyat tidak lagi tertipu dengan taktik kuno UMNO Barisan nasional ini yang mana sangat terdesak mahu meraih sokongan rakyat negara ini khususnya kaum Melayu.

"Bagi saya nampak sangatlah ini adalah satu provokasi sebab, sehinggakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan datang hari ini. Saya harap rakyat sedarlah," jelas Haniza.

Membelakangkan Parti, Zul Nordin Hadapi Pemecatan, Penggantungan atau Amaran

Biro Politik Parti Keadilan Rakyat mengeluarkan 'perintah tutup mulut' keatas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Nordin sehingga kes tindakannya membelakangkan pendirian parti selesai didengar Jawatankuasa Displin PKR.

Setiausaha Agung Saifuddin Nasution dalam satu sidang akhbar hari ini berkata Zulkifli juga dilarang mengeluarkan kenyataan media sehingga itu.

"Kita sudah arahkan beliau untuk tidak membuat sebarang kenyataan media. Biarkan parti mencari penyelesaian terbaik untuk kebaikan parti," katanya.

Biro Politik PKR bersidang hari ini bagi membincangkan tindakan Zulkifli yang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan pendirian parti berhubung polemik kalimah Allah.

Sebelum ini, Zulkifli dilaporkan terbabit dalam satu pertelagahan bersama rakan sejawat Ahli Parlimen Khalid Samad juga berhubung isu yang sama.

Saifudin berkata kes ini akan dirujuk ke Jawatankuasa Displin PKR yang akan bersidang dalam masa terdekat.

Pihak jawatankuasa akan meneliti kes ini dan akan mengusulkan hukuman sewajarnya termasuk amaran, penggantungan atau pelucutan keahlian ke Jawatankuasa Kerja Pusat PKR.

"Ekoran daripada itu kita akan membuat keputusan seperti berikut, kita bersetuju untuk merujuk kes ini kepada lembaga disiplin parti yang akan bersidang dalam tempoh terdekat. Kita akan mengkaji, menyiasat aduan, mendengar penjelasan daripada zulkifli dan akhirnya lembaga disiplin parti cukup terikat kepada keputusan- keputusan berupa amaran, menggantung keahlian dan memecat keanggotaannya," jelas beliau.

Jan 26, 2010

NASIB KAMI SOKONG UMNO






Pada 25.O2 .10 Jam 11pagi satu sidang media bersama wakil penduduk Kg Desa Melayu dan Kg Belantik Johor Baharu,menuntut supaya campur tangan Kerajaan negeri mengenai isu perpindahan 8 buah Kg yang telah di ambil oleh pihak pemaju MRCB masih lagi belum ada kata putus walaupun pihak pemaju sudah arahkan ketua ketua caw Umno sebagai ajen yang suruh penduduk keluar dari kg halaman mereka tetapi yang menjadi persoalan Wakil Rakyat kata jangan keluar dari Kg selagi rumah yang dijanjikan belum siap...mana satu yang perlu kami ikut? Pemaju suruh kami keluar tapi wakil rakyat suruh kami kekal sedangkan tanah ini telah menjadi hak milik Pemaju .Bayangkan Kampung ini kami teroka hampir 62 tahun kini sudah jadi hak milik pemaju kalau dulu berbagai janji wakil rakyat kami nak bagi geran tapi hanya TOL sahaja yang di beri akhirnya kami di halau keluar..nasib kami sokong UMNO kuat sangat kata salah seorang Penduduk.

Zulkifli Tidak Tarik Balik Laporan Polis Terhadap Khalid

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen kawasan Kulim Bandar-Baharu Zulkifli Noordin tidak akan menarik balik laporan polis yang dibuatnya terhadap Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad walaupun telah diminta berbuat demikian oleh penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zulkifli daripada PKR berkata beliau akan hanya berbuat demikian jika Khalid daripada PAS, menarik balik kenyataannya yang menyebut Enakmen Agama Islam negeri Selangor yang melarang penggunaan kalimah Allah ketinggalan zaman, serta memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Hari ini saya telah diminta oleh Datuk Seri Anwar untuk tarik balik laporan itu. Saya jawab tak ada sebab untuk tarik laporan itu, melainkan Khalid tarik balik kenyataan mengenai enakmen tersebut, minta maaf kepada umat Islam dan Sultan," katanya kepada Bernama di sini, malam semalam.

Dalam laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Jalan Masjid India, Sabtu lepas, Zulkifli turut melampirkan kenyataan Khalid dalam satu artikel bertajuk 'Enakmen larang kalimah Allah ketinggalan zaman' seperti yang disiarkan di laman portal Malaysiakini tiga hari sebelum itu.

Dalam artikel tersebut, Khalid dipetik sebagai menyatakan, enakmen agama Islam yang melarang penggunaan nama Allah dan perkataan-perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman dengan alasan pada masa undang-undang itu diluluskan mungkin tahap kefahaman umat Islam terhadap agama Islam begitu lemah sehingga perlu dilindungi.

Kenyatan Khalid itu merujuk kepada Enekmen Ugama Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988.

Zulkifli menyifatkan kenyataan Khalid dalam artikel itu sebagai berunsur hasutan dan menghina Sultan Selangor dan Dewan Undangan Negeri itu serta menghina umat Islam secara umumnya.

Ekoran tindakannya itu Zulkifli bakal berdepan dengan tindakan disiplin apabila Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, satu mesyuarat Biro Politik Khas akan diadakan esok di Ibu Pejabat PKR bagi membincangkan tindakan yang akan diambil terhadap Zulkifli.

Mengulas tindakan yang akan diambil terhadapnya, Zulkifli berkata PKR mempunyai hak untuk mengambil tindakan sekiranya mereka merasa perlu tetapi beliau juga ada hak untuk mempertahankan tindakannya itu.

Bagaimanapun beliau sedia memberi kerjasama tetapi biro tersebut perlu memanggilnya untuk memberi keterangan sebelum membuat sebarang keputusan, dan hingga kini beliau belum menerima apa-apa notis dan surat daripada parti.

Katanya Anwar juga tidak memaklumkannya mengenai apa-apa notis, sebaliknya hanya menyebut bahawa kes itu akan dirujuk kepada Biro Politik Khas.

Mengenai desas-desus yang beliau mungkin dipecat daripada parti, Zulkifli berkata: "Cakap-cakap yang mengatakan saya akan dipecat hanyalah spekulasi tetapi jika betul-betul dipecat saya akan bertindak. Saya telah bersedia."

Dalam perkembangan yang sama Zulkifli turut meminta Naib Presiden PAS Selangor Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegur Khalid terlebih dahulu sebelum menyalahkan beliau sepenuhnya.

Katanya, Tuan Ibrahim sepatutnya menegur Khalid berhubung kenyataanya mengenai enakmen tersebut kerana jelas menghina umat Islam dan institusi Raja. - BERNAMA

Jan 25, 2010

Pasukan Khas Siasat Blog Hina Almarhum Sultan Iskandar

JOHOR BAHARU, 24 Jan (Bernama) -- Polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat blog yang dikatakan menghina Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, yang mangkat Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata sebanyak 25 laporan polis diterima daripada pelbagai pihak di seluruh negeri ini yang dukacita terhadap penulisan blog http://adukataruna.blogspot.com itu.

"Kita akan cari dan heret mereka ke mahkamah," katanya sambil menegaskan kesalahan itu adalah sangat serius dan tidak dapat dimaafkan.

Mohd Mokhtar berkata kes itu disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Hasutan 1948.

-- BERNAMA

Kerajaan Negeri Tidak Tunduk Kepada Tekanan Noh Omar - YBK

Kerajaan negeri Selangor tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan atau ugutan daripada pemimpin pusat mahupun Yayasan Basmi Kemiskinan bersabit pembinaan sebuah lagi kampus Universiti Teknoloji Mara UiTM.

Pengerusi YBK Zainal Sakom dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Noh Omar sebelum ini cuba menyalahkan kerajaan negeri atas apa yang didakwa mereka sebagai kelewatan kerajaan negeri meluluskan tapak projek itu di Serendah, Rawang.

Kerajaan negeri sebelum ini meminta YBK telus dalam menjelaskan penggunaan dana dan hartanah yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada yayasan itu untuk membela golongan miskin.

Ini kerana YBK tidak menghantar penyata kewangannya kepada kerajaan negeri dan hanya memuatkan beberapa butiran perbelanjaan pada laman webnya sahaja.

Justeru kerajaan negeri meminta pihaknya diberi suara dalam urus tadbir YBK bagi melindungi kepentingan rakyat Selangor.

Namun permintaan itu dijadikan alasan oleh Noh Omar untuk memberi amaran bahawa projek itu mungkin dialihkan ke negeri lain.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata membidas pihak yang sengaja memutarbelitkan isu ketelusan YBK dan pembinaan kampus UiTM.

“ YBK satu isu lain daripada pembinaan Universiti dan tempat untuk membina Institusi Pengajian Tinggi. Negeri Selangor mereka-mereka yang ingin mendirikan Universiti di Selangor sebab tempatnya sesuai, tertumpu, banyak Universiti-universiti besar berada di Selangor tetapi caranya kena betul” katanya.

Khalid berkata kerajaan negeri tidak akan menyokong YBK dan mana-mana pihak lain yang cuba memberikan kontrak kepada pihak tertentu dalam keadaan mencurigakan dan melanggar peraturan asas urus tadbir telus.

“ Kalau mana kementerian hendakkan tanah, jumpa dengan kerajaan negeri dan kerajaan negeri bersedia menolong mereka untuk mendapatkan tanah. Bukan isu YBK, isu tanah untuk universiti. Jangan jadikan YBK tempat memberikan kontrak tidak nyata. Kontrak? Nak bagi kontrak macam itu tidak boleh. Parti keadilan tidak terima cara itu” ujarnya lagi.

Ujar Khalid, kerajaan negeri tidak mungkin merencatkan pembangunan universiti di Selangor namun saluran yang betul harus diguna dalam memastikan usaha itu memberi manfaat kepada kumpulan sasaran dan bukan untuk pihak tertentu mengaut keuntungan haram.

“ Saya berpendapat, kita buat secara terbuka sebab kampus UiTM itu untuk rakyat Melayu, kita mesti cari kos yang serendah-rendahnya, tanah yang sebaik-baiknya. Sebab itu tanggungjawab kita bukan main-main kayu tiga. Tidak boleh. Ia adalah dua isu yang berlainan” tambahnya. sumber TVS

Jan 24, 2010

Khalid Selar Tindakan Zulkifli Umpama Anjing Yang Menyalak Bukit

PETALING JAYA: Ahli Parlimen paling kontroversi masa kini dari Shah Alam, Khalid Abd Samad berkata, rakannya dari Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin boleh terus menyalak bukit tanpa perlu beliau menghiraukannya.

Malah Khalid berkata, Zulkifli yang menuduhnya (Khalid) mengeluarkan kenyataan memperlekeh dan menghina agama Islam sebagai seorang yang tidak berfikiran terbuka.

Beliau berkata, tindakan Zulkifli itu juga mencerminkan sikap semulajadinya sebagai seorang yang suka bertindak tanpa usul periksa.

"Perumpamaannya mudah sahaja, walaupun ada anjing yang menyalak tapi kita akan tetap terus berjalan dan tak perlu menghiraukannya.

"Begitu juga dengan hal ini, saya tak perlu nak buat apa-apa terhadapnya, saya akan terus dengan cara saya dan mempertahankan tindakan saya," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Zulkifli yang membuat laporan polis terhadapnya kerana didakwa secara berterusan mengeluarkan kenyataan menghina Islam.

Laporan polis berkenaan merujuk kepada kenyataan Khalid dalam satu artikel disiarkan portal berita Malaysiakini bertajuk ‘Enakmen larang kalimah Allah ketinggalan.’

Menerusi artikel itu, Khalid dipetik sebagai berkata bahawa enakmen agama Islam yang melarang penggunaan kalimah Allah dan perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman.

Kenyataan Khalid itu merujuk kepada Enakmen Ugama Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988.

Berikutan itu, Zulkifli menggesa polis supaya menjalankan siasatan terhadap Khalid mengikut Akta Hasutan 1948 atau Seksyen 298 Kanun Acara Jenayah.

Bagaimanapun Khalid berkata, beliau tidak berkecil hati malah tidak mengendahkan tindakan Zulkifli itu.

"Bila masa pula saya perlekeh dan hina Islam? Bila saya cakap macam itu?

"Dia (Zulkifli) tak tahu isu sebenar tapi nak buat tindakan melulu dengan tuduh saya macam-macam," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Malah Khalid sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa undang-undang pentadbiran keagamaan bukan merupakan hukum yang bersifat 'qatii' atau mutlak yang tidak boleh diubah.

Selain itu, Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam berkata, sebelum ini beliau telah mengusulkan kepada kepimpinan PAS Pusat agar parti itu mengemukakan satu usul kepada Sultan Selangor supaya satu kajian semula dibuat terhadap undang-undang agama Islam di negeri itu.

Malah menurutnya, PAS juga mungkin akan mencadangkan supaya usul berkenaan diajukan kepada kepimpinan Pakatan Rakyat.

"Baru-baru ini saya mengadap Sultan Selangor dan kami berbincang mengenai perkara ini.

"Baginda begitu mengambil berat mengenai isu ini dan Baginda juga menitahkan saya supaya mengemukan satu cadangan secara bertulis agar satu perbincangan khusus dan profesional dapat dibuat.

"Baginda begitu rasional dan sangat terbuka untuk mengkaji semua enakmen berkenaan agar menepati keadaan semasa," katanya.

Dalam pada itu Khalid berkata, Zulkifli sepatutnya berasa malu dengan Sultan Selangor yang melihat isu berkenaan secara lebih terbuka.

"YB (Yang Berhormat) Zulkifli kena malu dengan Tuanku. Baginda sangat prihatin malah sedia untuk mendengar pandangan," katanya.sumber

Jan 23, 2010

SULTAN JOHOR MANGKAT

Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, mangkat malam ini selepas memerintah Johor hampir tiga dekad.

Baginda mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering.

Jenazah Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah pada pukul 2 petang esok.

Rakyat jelata boleh memberikan penghormatan terakhir di Istana Besar dari pukul 9 pagi hingga 10.30 pagi sementara orang kenamaan dari pukul 11 pagi hingga petang.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di sini malam ini.

Baginda meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera-puteri.

Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

Tiga tahun kemudian pada 15 Nov 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Petang ini, putera sulung baginda Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.

Berita mengenai kegeringan Sultan Iskandar diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad pada pukul 5 petang.

Almarhum merupakan putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden, Almarhum Sultan Abu Bakar.

Sultan Iskandar, yang merupakan Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden, menerima pendidikan awal di Johor Bahru, sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia dan United Kingdom.

Baginda yang merupakan Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia (Komando), sering kelihatan memakai uniform tentera pada upacara rasmi kerana minatnya dalam bidang ketenteraan.

Nama Almarhum terpahat pada sekolah, acara sukan seperti Kejohanan Golf Terbuka Iskandar dan juga koridor pembangunan selatan Johor iaitu Iskandar Malaysia.sumber

Jan 20, 2010

CERAMAH PAKATAN RAKYAT






Kota Tinggi, 19 Jan 2010 bertempat di Pasti Al-Falah 2, Taman Hijrah ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat Kota Tinggi dengan menjemput penceramah-penceramah muda yang tidak asing lagi bagi dunia politik masa kini.

Dengan membariskan penceramah-penceramah seperti Saudara Syed Othman Abdullah yang juga merupakan Penyelia PAR Permas dan AJK PAS Johor selaku penceramah pertama diikuti dengan Saudara Fariz Musa (Timbalan AMK) yang menggantikan YB Amirudin Shari dan seterusnya Saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin (Ketua AMK) suasana di malam tersebut menjadi hangat dengan topik-topik menarik yang di sampaikan.


Bermula dengan ucapan Saudara Syed Othman yang menyifatkan perwatakan Umno ketika ini dalam memperjuangkan isu kalimah Allah adalah bersifat retorik semata-mata. Umno seolah-olah ingin menunjukkan kepada dunia bahawa merekalah parti yang wahid dalam memperjuangkan agama Islam walhal sebelum ini Umno jugalah menerusi lidah-lidah pemimpin mereka terus menerus memperlekeh dan menghina hukum hudud yang terkandung di dalam undang-undang jenayah. Siapa yang tidak kenal dengan Tun Dr Mahathir, kenyataan DS Najib dalam menyumbang kepada penghinaan terhadap hukum Allah ini? Tiba-tiba mereka mengubah nada apabila tiba isu kalimah Allah ini.

Dalam pada itu, Syed Othman juga menilai akan slogan rakyat di dahulukan, pencapaian di utamakan yang menjadi trademark pemimpin-pemimpin Umno juga merupakan omongan kosong yang tidak mencerminkan keadaan sebenar. Rakyat ketika ini sedang dihimpit dengan kenaikan barangan keperluan di samping kenaikan-kenaikan lain yang bakal menyusul kemudian. Mana perginya slogan rakyat di dahulukan bilamana kejadian yang berlaku di penempatan setinggan Plentong tidak mendapat pembelaan dan simpati daripada pemimpin Umno.



Saudara Fariz Musa yang menggantikan YB Amirudin Shari di saat-saat akhir ternyata tidak mengecewakan hadirin yang hadir. Dengan kritikan pedas sambil diselitkan dengan unsur-unsur komidi ternyata menggamatkan ruang di sekitar tempat ceramah.

Beliau yang sebelum ini memang bergerak aktif semasa menerajui Umno (disifatkan sebagai zaman jahiliah) menegaskan bagaimana Umno memanipulasikan BTN untuk kepentingan politik mereka. Sekarang isu tersebut sudah gagal untuk dimainkan oleh Umno bagi tujuan mendapatkan simpati rakyat untuk menyokongnya.

Beliau juga menyifatkan Umno yang mengamalkan mazhab politik lain-agama lain terus menerus di rundung masalah yang tidak henti-henti. Kita lihat bagaimana kadar jenayah yang semakin meningkat, indeks rasuah yang meningkat dan ketelusan sistem kehakiman dan badan-badan kerajaan yang lain yang terus dipertikaikan.

Lihat bagaimana sikap double standard Umno yang kononnya juara memperjuangkan Islam khususnya dalam isu kalimah Allah ini tetapi dalam masa yang sama, Umno jugalah yang meruntuhkan masjid-masjid sebelum ini. Diatas perbuatan Umno itulah maka ketika ini Allah membalas perbuatan tersebut dengan pelbagai kejadian bangunan runtuh, retak dan sebagainya seperti yang berlaku di Terengganu.



Pada malam tersebut, Ketua Penerangan Pakatan Rakyat Kota Tinggi, Saudara Abd Razak Bin Hj. Esa telah menjemput wakil kaum India yang merupakan bekas ahli PPP Kota Tinggi untuk menyerahkan borang keahlian kepada Saudara Shamsul Iskandar. Wakil kaum India tersebut melihat akan ketelusan perjuangan yang di bawa oleh Pakatan Rakyat untuk merubah iklim politik yang lebih sihat. Sejumlah 35 borang telah diserahkan pada malam tersebut dan ini merupakan satu tamparan hebat kepada parti komponen BN bilamana kaum India sudah berani untuk melakukan perubahan.



Penceramah terakhir iaitu Ketua AMK Malaysia, Saudara Shamsul Iskandar. Dalam kenyataannya, beliau dalam siri road tour menjelajah semenanjung untuk memberikan penerangan kepada rakyat tentang apa sebenarnya yang berlaku ketika ini. Kota Tinggi merupakan destinasi yang ke 35 dalam siri-siri penerangannya dan akan diteruskan ke merata kawasan sebelum tarikh perbicaraan DSAI.

Dalam penerangannya, beliau menyatakan bahawa akan berlaku konspirasi ke dua dalam usaha mengheret DSAI ke penjara setelah dilihat mampu menggugat singgahsana pemimpin Umno ketika ini. Maka akan berlakulah episod-episod bodoh dan dangkal seperti yang berlaku sebelum ini. Mahkamah Malaysia sekali lagi akan menjadi gelanggang raja lawak yang terhebat.

Beliau juga menceritakan bagaimana jemputan ulama terkemuka dunia Syekh Yusof Al-Qardawi ketika menerima penghormatan selaku Tokoh Maal Hijrah oleh kerajaan Umno, BN disebelah malamnya terus memberi kuliah dalam sebuah program yang di anjurkan di Shah Alam itu. Tokoh Ulama tersebut terus membidas tindakan kerajaan dalam usaha mengaitkan DSAI dengan kes liwat tersebut.

Kritikan Ulama tersebut tidak mampu di tutup oleh pemimpin Umno walaupun beliau diberikan Tokoh Maal Hijrah. Beliau menyifatkan tuduhan ini tidak masuk akal dan sepatutnya DSAI dituduh di bawah undang-undang Syariah kerana menuduh seseorang itu melakukan liwat tanpa saksi. Tapi memang niat sebenar mereka untuk mencampakkan karier politik DSAI ke penjara maka pelbagai cara di lakukan untuk menghalalkan perbuatan mereka.



Diakhirnya, beliau menceritakan bagaimana penyiasat persendirian, Bala yang heboh dengan akuan bersumpahnya yang mengaitkan penglibatan secara langsung DS Najib dan Big Mama di hilangkan. Dan yang terbaru, Bala tampil dengan kenyataannya lagi bahawa terdapat pemimpin Umno yang menjanjikan habuan RM2 juta untuk menafikan akuan bersumpahnya dan beliau dilarikan ke India dengan berbagai-bagai insentif lainnya.

Bala tampil ketika ini apabila habuan yang di janjikan tidak dipenuhi oleh mereka dan atas kenyataan itu, Saudara Shamsul telah melapurkan perkara tersebut kepada SPRM untuk tindakan seterusnya. Namun sehingga kini, seolah-olah tidak mendapat perhatian daripada SPRM terhadap aduan tersebut.

Maka dapatlah disifatkan bahawa Malaysia semakin caca marba dengan campurtangan pemimpin politik demi untuk menutupi kesalahan mereka dan menjadi kewajipan rakyat sekelian untuk mengubah senario politik ini dengan sama-sama menumbangkan Umno, BN dalam pilihanraya umum yang akan datang.
PAS KOTA TINGGI

GILIRAN PARA GURU TURUN KE JALAN RAYA

Para guru mungkin akan mengikuti jejak para cendekiawan, turun ke jalan raya bagi menuntut hak, ekoran beberapa keputusan kerajaan Umno dan Barisan Nasional(BN) yang tidak menepati slogan yang digembar-gemburkan.

Slogan yang dipopularkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, ”Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” mungkin memakan ‘diri kerajaannya sendiri’ apabila gagal mengotakan kata-kata tersebut.
Menurut sumber sebuah laman forum awam internet 8 Januari lalu, seorang peserta forum itu telah memaklumkan bahawa, semua elaun kakitangan awam seperti elaun tetap khidmat awam, elaun tetap perumahan dan Elaun Sara Hidup (COLA) bermula pada Februari 2010.

Tulisan tersebut turut menambah, bukan sahaja elaun-elaun ini akan dihapuskan tapi semua gaji kakitangan awam dari semua gred akan dipotong sebanyak 35%.

Menurutnya lagi, perkara tersebut telah disahkan oleh seorang kakitangan Perbendaharan yang bertugas di Putrajaya.

Hari ini, 20 Januari, seorang guru dari sebuah sekolah menengah di daerah ini memaklumkan, keputusan kerajaan Umno/ Barisan Nasional(BN) untuk menghimpit lagi ekonomi Negara yang sudah ‘kemek’ akan menjadi realiti.

Menurutnya, bukan sahaja elaun sara hidup (Cost Of Living Allowence - COLA) akan dipotong, malah elaun perumahan para guru akan di kurangkan separuh.

”Saya akan kehilangan RM400 sebulan, elaun COLA akan dipotong sebanyak RM200 dan elaun perumahan dari RM400 sebulan akan menjadi RM200 sahaja,”ujarnya.

Katanya, perkara itu telah disahkan oleh rakan-rakan setugasnya disekolah-sekolah lain yang telah mendapat surat pekeliling dari Jabatan Pendidikan.

Beliau yang tidak mahu dikenali berkata, pihak sekolah juga turut terbeban dengan ‘cakap tak serupa buat’ pemimpin Umno/BN apabila mengarahkan caj penggunaan air dan elektrik, ditanggung sendiri oleh pihak pentadbir sekolah.

Sebelum itu, kata beliau, pengwujudan semula yuran sekolah bagi para pelajar yang telah dihapuskan beberapa tahun lalu, telah cukup memalukan.

”Kini pelbagai beban terpaksa ditanggung oleh pihak sekolah, krana banyak peruntukan yang biasa di berkian kepada pihak sekolah mula dpotong.

”sudahlah menanggung beban pelbagai masalah sosial dan disiplin murid, guru-guru disekolah kini diminta ‘menggalas’ kegagalan seorang Menteri Kewangan.”katanya dengan nada kesal.

Apabila ditanya, adakah para guru sanggup tuun ke jalanraya menuntut segala hak-hak sebagai warga pendiikan dari kerajaan Umno/BN beliau menjawab; “Tunggu masa dan ketika yang sesuai!”.SUMBER buletin online

700 Lori Angkut Pasir Silika Ke Singapura Setiap Hari - Dr. M

Tun Dr. Mahathir Mohamad beranggapan bahawa ada pihak yang tidak bercakap benar apabila sebanyak 700 lori dengan muatan pasir silika didapati keluar dari Johor ke Singapura setiap hari.

Bekas Perdana Menteri berkata, walaupun Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor memberitahu terdapat 500 lori membawa pasir itu ke seberang Tambak Johor setiap hari tetapi jumlah sebenar adalah lebih daripada itu.

"Saya ingat kita dah hentikan penjualan tanah kita kepada Singapura.

"Seorang teman memberitahu saya bukan 500 lori tetapi 700 buah. Itu jumlah yang banyak," tegas beliau dalam blog popularnya, Che Det di sini.
DR. MAHATHIR MOHAMAD

Beliau mengulas kenyataan Shaziman pada November lalu yang menyebut sebanyak 700 buah lori bertolak dari Singapura ke Malaysia melalui Tambak Johor setiap hari, manakala sejumlah 1,000 buah lori menggunakan laluan sama dari Malaysia ke Singapura.

Shaziman menambah, lebih kurang 500 buah lori ke Singapura membawa pasir.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, republik itu memerlukan pasir silika untuk menghasilkan mikrocip.

Secara sinis beliau menambah: "Saya tidak tahu berapa banyak pasir yang digunakan untuk membuat mikrocip yang sekecil itu. Mesti banyak sekiranya mereka perlukan 700 lori pasir sehari."

Beliau berkata, pulangan dengan menjual bahan mentah tidak menguntungkan dan kerana itu adalah lebih baik bagi negara ini memproses bahan mentah terbabit supaya ada nilai tambahan.

"Tidaklah begitu sukar untuk menghasilkan silika dari pasir silika. Saya rasa kilang kaca ada melakukannya sepanjang masa. Dan kita ada kilang kaca di Malaysia.

"Kenapa kita tidak hasilkan wafer silikon dan menjualnya kepada Singapura," ujarnya.-MstarOnline

ISU YBK KAMI BERTANGUNGJAWAB

Kerajaan Negeri Selangor menuntut Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mendedahkan maklumat mengenai semua bantuan yang diterimanya daripada Kerajaan Negeri Selangor sejak penubuhan yayasan itu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ini kerana laporan kewangan YBK seperti yang dipaparkan dalam laman sesawang rasminya gagal memberi maklumat penuh berhubung harta dan wang yang telah diberi oleh Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.

"Kita sedia maklum laporan kewangan yang dipaparkan dalam laman sesawang mereka. Tapi laporan kewangan itu tidak memberi maklumat terperinci tentang harta dan wang yang diberikan kerajaan negeri Selangor. Sebab itulah kita kata perlunya yayasan itu membuat analisa dan penyataan semula," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, laporan kewangan yang dipaparkan itu menyebut berkaitan tanah seluas 1,300 ekar di Serendah yang bernilai lebih kurang RM78 juta (dikira pada RM60,000 setiap ekar).

"Tanah itu adalah pemberian yang besar nilainya, tetapi tidak ada dalam laporan kewangan. Ini baru satu contoh. Jadi, kita harap YBK akan lebih telus dan memberikan maklumat yang sepenuhnya," tambah beliau lagi.

Khalid memberitahu, YBK gagal membayar walaupun satu sen untuk premium sejak 2001 lagi selain gagal mengambil sebarang usaha untuk membuat pembayaran.

Beliau berkata, yayasan itu hanya berhubung dengan Kerajaan Negeri Selangor ketika membuat permohonan untuk menukar status tanah itu dari pertanian kepada pengunaan komersil dan jika permohonan penukaran status tanah itu dibuat, ia akan bernilai lebih kurang RM540 juta (dikira pada RM10 perkaki persegi).

"Untuk tanah yang begitu besar nilainya sudah tentulah kerajaan negeri prihatin mengenai hal bagaimana ia diurus tadbir. Mungkin kerajaan dahulu tidak mahu mengambil tahu, tapi Pakatan Rakyat tidak boleh membelakangkan isu itu kerana 'kami bertanggungjawab ke atas setiap sen wang rakyat'," ujarnya.

Sehubungan itu, sebagai pemegang amanah harta rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bukan sahaja perlu telus dan bertanggungjawab, tetapi juga memastikan semua keputusan dan tindakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat selari dengan dasar "Merakyatkan Ekonomi Selangor".

Khalid turut mengulangi keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengeluarkan satu laporan terperinci berhubung harta dan wang yang diberikan kepada YBK pada tahun sebelum ini.

"Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini telah memohon kepada YBK supaya melantik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Pengerusi YBK manakala ahli Exco Kebajikan dan dua lagi wakil kerajaan negeri itu dilantik sebagai ahli lembaga penasihat . Namun demikian YBK telah menolak permohonan tersebut,” kata kenyataan itu lagi yang turut disiarkan di laman rasmi Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jan 19, 2010

DUTA DAN WAKIL ASING BIMBANG ISU KALIMAH ALLAH

Duta dan wakil asing menyatakan kebimbangan mereka terhadap isu kalimah Allah berikutan tindakan kerajaan seolah-olah menafikan peranan Sultan dalam isu ini.

Turut dinyatakan peranan mahkamah dan cara lantikan hakim dalam perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kebimbangan itu dinyatakan dalam pertemuan tertutup Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama duta asing. Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Mustaffa Kamil Ayub berkata, PKR juga menyatakan pendirian berhubung isu kalimah Allah dan kes perbicaraan Anwar.

“ Kita beranggapan isu ini dibangkitkan bagi menutup segala isu besar dalam negara seperti kehilangan enjin dan dan wang berbilion ringgit” ujar Mustaffa.

LONGKANG TERSUMBAT BIMBANGKAN PENDUDUK




Pada 18 hb saya melawat Kawasan Permas setelah menerima aduan mengenai longkang tersumbat sehingga menimbulkan kebimbangan yang amat sangat kepada penduduk Taman Permas Jaya di Jalan Permas 2/3 dan 1/1 dalam Parlimen Pasir Gudang. Hal ini terjadi memandangkan sistem saliran seperti longkang di sekitar Taman Perumahan mereka tersumbat teruk yang mana bakal mengakibatkan banjir kilat,Kawasan ini juga telah di istihar kawasan Nyamuk Aedes , Aduan penduduk kepada pihak Majlis MBJB belum menunjukkan tanda-tanda kerja penyelenggaraan akan dilakukan dalam masa terdekat. Pusat Aduan Rakyat telah meninjau tempat tersebut bersama wartawan Utusan, dan PAR akan memanjangkan masalah berkenaan kepada pihak berwajib.

Jan 18, 2010

ALLAH JUGA BOLEH DI GUNA DI WP, P PINANG: Nazri

Selain Sabah dan Sarawak, perkataan Allah juga boleh digunakan oleh bukan Islam di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

Bagaimanapun, TheSun memetik beliau sebagai berkata, di negeri-negeri lain yang mempunyai enakmen agama Islam, bukan Islam tidak boleh menggunakan perkataan Allah.