Jan 30, 2010

Bakar Gereja : Hishamuddin Jangan Masuk Campur

Polis Kena Panggil Azmin

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang melarang Polis mengambil keterangan daripada naib presiden PKR Azmin Ali, yang sebelum ini mendakwa mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat dalam kes membakar

dan mendalangi serangan ke atas gereja Metro Tabernacle baru-baru ini.


Sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau tidak boleh memberikan arahan sedemikian demi untuk melindungi ahli partinya. Setiap kali ada kes jenayah dilaporkan, Polis sering meminta bantuan orang ramai untuk mengumpul maklumat. Tetapi bila sudah ada orang yang mahu tampil memberikan maklumat dan bukti, kenapa perlu dihalang?

Walaupun beliau adalah Menteri yang bertanggungjawab, namun bila wujud kes yang melibatkan kepentingan parti dan ahli Umno, maka beliau wajar mengumumkan untuk tidak masuk campur dan menyerahkan urusan siasatan Kes berkenaan dibawah tanggungjawab Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sepenuhnya.

Dalam keadaan sebegini, rakyat jelas melihat bahawa beliau cuba untuk menafikan maklumat Azmin, dan cuba untuk menghalang bukti-bukti disalurkan kepada pihak Polis untuk mendakwa suspek.

Dalam Kes Teoh Beng Hock sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan pantasnya dipanggil memberikan keterangan berikutan dakwaan beliau bahawa Beng Hock dibunuh.Tetapi kenapa bila Azmin berkata beliau mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat membakar gereja beliau tidak dipanggil memberikan keterangan.

PAS mendesak supaya Polis bersikap profesional dan tidak tunduk kepada arahan Menteri dan bersubahat menafikan maklumat dan keterangan rakyat. Jika perkara ini dibiarkan, tidak mustahil selepas ini, ahli-ahli Umno boleh melakukan apa sahaja jenayah dan tidak perlu disiasat walaupun ada rakyat yang mempunyai maklumat dan bukti.

PAS bertegas, agar Polis mengambil keterangan Azmin bagi mengesahkan sama ada dakwaan beliau benar atau tidak. Jika benar ahli Umno terlibat merancang perbuatan ini, maka PAS dan rakyat Malaysia melahirkan rasa sedih di atas perbuatan yang memalukan negara.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments:

Post a Comment