• Jimat susu kerana kewangan Syed Othman (tengah) ketika melawat Asri.


PASIR GUDANG – Seorang ibu seolah-olah rasa bersalah apabila melihat keadaan anaknya yang terlantar koma semakin kurus selepas terpaksa berjimat susu kerana menghadapi masalah kewangan.

Mara Mail, 52, berkata, dia sekeluarga terpaksa berbuat demikian untuk mengelak anak sulungnya, Asri Suardi, 24, yang koma sejak April tahun lalu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya terputus bekalan susu.

Menurutnya, meskipun mendapat bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM300 sebulan, namun masih tidak mencukupi untuk menampung bekalan susu, lampin pakai buang dan perubatan Asri.

“Saya sedih melihat keadaan anak saya semakin hari semakin kurus, mungkin kerana saya mengehadkan pemberian susu pada dia.

“Tapi saya terpaksa kerana tak mampu.. setin susu berharga RM75 hanya untuk empat hari sahaja, sedangkan kos lampin pakai buang dan perubatan lagi perlu ditanggung,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Mara berkata, pendapatan suami yang berkerja tidak menentu tidak sampai RM1,000 sebulan terlalu sempit untuk menyara keluarga, apatah lagi dua anaknya masih bersekolah.

“Suami pun tak boleh bekerja berat selepas kedua-dua kakinya patah akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Hasil tolong kawan kerja-kerja ringan dapatlah upah tak sampai pun RM1,000 sebulan. Alhamdulillah cukup untuk kami enam beranak hasil berjimat-cermat,” katanya.

Katanya, jauh di lubuk hatinya sering berdoa agar anak sulungnya kembali sihat seperti sediakala walaupun doktor tidak memberi sebarang jaminan anaknya akan kembali pulih.

“Saya nak lihat anak sulung saya ini kembali pulih supaya boleh bekerja dan membantu menyara kami sekeluarga seperti dulu,” katanya.

Dalam pada itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan berusaha merujuk kes itu kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapat bantuan yang boleh meringankan beban keluarga itu.

Menurutnya, pihaknya juga akan memberi bantuan barangan keperluan asas secara bulanan, selain membantu membayar tunggakan bil rawatan Hospital Sultan Ismail (HSI) sebanyak RM208.

“Saya akan bawa keluarga ini ke JKM dalam masa terdekat untuk memohon bantuan bulanan yang boleh meringankan beban yang ditanggung.

“Bayaran bil hospital HSI yang masih tertunggak sebanyak RM208 juga saya akan bayar, selain bantuan barangan keperluan asas akan kita salurkan setiap bulan kepada keluarga ini sepanjang tiga bulan pertama,” katanya.