SIMPANG RENGGAM – Gabungan Selamatkan Tanah Rakyat Johor (TANAH) akan  mengumumkan satu perhimpunan besar-besaran dalam satu majlis yang  dipanggil pelancaran Himpunan Tanah Rakyat Johor di lobi Parlimen  Malaysia yang dijadualkan akan diadakan pada 16 April depan.
Menurut Pengarah Sekretariatnya, Suhaizan Kaiat, selain kehadiran  sejumlah 40 orang daripada rombongan TANAH, beberapa pimpinan Pakatan  Rakyat (PR) akan turut berada di majlis pelancaran itu bagi mengumumkan  satu perhimpunan TANAH yang akan diadakan pada 5 Mei depan di pusat beli  belah terkenal Plaza Angsana Johor Bahru.
”Rombongan sekitar 40 orang yang kebanyakannya penduduk Pengerang  akan berada di Parlimen Malaysia awal minggu depan,” ujarnya ketika  ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Khas Sekretariat TANAH di  pejabat Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Taman Renggam Jaya, dekat sini,  semalam.
Sementara itu, beliau berkata, kain lilitan berukuran 3 inci dengan  berlogokan TANAH akan diikat sebagai gimik pelancaran majlis tersebut  disamping memperkenalkan badge TANAH kepada umum.
Malah, pihaknya mendakwa TANAH turut menerima sokongan daripada 18  badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh berpengaruh serta kalangan  rakan Pakatan pembangkang lain yang bersimpati dengan masalah tanah di  Johor.
Suhaizan yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ)  berkata, jelajah penerangan berkenaan TANAH akan digerakkan ke seluruh  negara sebagai satu usaha menarik perhatian umum untuk turut serta dalam  perhimpunan itu nanti.
”Kita sasarkan bermula dari 21 April ini sesi majlis penerangan akan  digerakkan ke setiap kawasan (daerah) di bawah (anjuran) pemuda (DPPNJ)  dengan melibatkan individu-individu yang berkaitan seperti YB Salahuddin  dan Mazlan Aliman yang bertindak sebagai Pengerusi Gabungan TANAH.
”Selain itu, kami akan bergerak ke seluruh negara dengan menyasarkan  negeri-negeri seperti Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan bagi  menyampaikan penerangan mengenai TANAH.
”Malah kita akan aturkan satu program konvoi anak muda yang akan  berjelajah bermula di Muar hinggalah ke Johor Bahru dengan aktiviti  seperti edaran risalah dan sebagainya,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment