Jul 5, 2011

USAH WUJUDKAN KETENGANGAN




PASIR GUDANG – Pas Johor mendesak mana-mana pihak menghentikan isu provokasi tertentu menyebut perkataan komunis kerana boleh menimbulkan ketegangan. 

Ahli Jawatankuasa Perhubungan Pas Negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, perkataan komunis begitu sensitif bagi orang Melayu dan boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan penduduk. 

Menurutnya, Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) diadakan bukan bertujuan untuk bertembung atau ingin menjatuhkan negara melalui demonstrasi jalanan, tetapi membuktikan demokrasi melalui Pilihan Raya Umum. 

“Walaupun Pas Johor tidak menghantar rombongan ke Perhimpunan Bersih 2.0 yang dijangka 9 Julai ini, tetapi penyokong Pas akan tetap turun secara peribadi. 

“Kita turut mendesak kerajaan membebaskan 30 ahli Parti Sosialis yang ditahan kerana mereka bukan Parti Komunis,” katanya kepada Sinar Harian. 

Dalam pada itu, Syed Othman berkata, beliau dipanggil pihak polis 30 Jun lalu kerana didakwa cubaan menghasut orang ramai menyertai Perhimpunan Bersih 2.0 ketika berceramah 18 Jun lalu di Taman Rinting. 

Menurutnya, pihaknya akur dengan pihak polis, tetapi Perhimpunan Bersih 2.0 yang bakal diadakan adalah yang dibenarkan dalam perlembagaan. 

“Kita tiada masalah dan hadir untuk soal siasat selama dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam kerana tindakan ketika berceramah bukan menghasut, tetapi mengajak orang ramai menyertai Perhimpunan Bersih 2.0. 

“Kita akur kerana sebagai penceramah, malah melalui ceramah bulanan bersama Pakatan Rakyat, kita mesti menyuarakan mengenai Perhimpunan Bersih seperti arahan daripada pucuk pimpinan Pas,” katanya. 

Katanya, rakan-rakan dari Pakatan Rakyat turut sama memberikan sokongan terhadap kes yang bakal didakwa di bawah Seksyen 27(5) dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment