Jul 14, 2011

TAK TAHAN LAGI DENGAN BAU BUSUK : PENDUDUK PERMAS JAYA

Penduduk sekitar Permas Jaya, Jalan Permas 5 mengeluh apabila terpaksa menghidu bau busuk akibat sistem kumbahan di kawasan perumahan mereka yang tidak berfungsi sejak dua bulan lalu.

Penduduk di kawasan terbabit mendesak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) segera menyelesaikan isu terbabit bagi memperoleh kehidupan yang selesa.

Dikatakan penduduk tidak dapat menahan bau busuk itu yang membabitkan 5,000 penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Seorang penduduk Low Yock Mooi, 40, berkata, pihaknya kerap menghubungi MBJB sebelum ini mengadu hal berkenaan namun dimaklumkan wakil majlis terbabit, pihak yang bertanggungjawab menguruskan perkara itu tiada di pejabat.

“Saya telah menghubungi MBJB beberapa kali sebelum ini namun setiap kali panggilan dibuat dimaklumkan kepada saya, petugas berkenaan tiada di pejabat dan ada kalanya diberitahu individu berkenaan mengambil cuti sakit.

“Setelah berkali-kali gagal mendapatkan penjelasan pihak terbabit saya membuat aduan kepada Pusat Aduan Rakyat Zon Permas minggu lalu agar dapat membantu menyelesaikan masalah ini dengan membawa perkara ini kepada pihak yang berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Yock Mooi mengakui pihaknya ada dimaklumkan MBJB sebelum ini bahawa perkara itu akan ada kontraktor yang menguruskannya namun mendapati tidak seperti apa yang dikatakan pihak terbabit.

“Sebelum ini kebiasaannya kontraktor yang diwakilkan MBJB akan datang seminggu kira-kira dua hingga tiga kali membersihkan kawasan itu namun akhir Jun lalu sudah tiada kehadiran kontraktor yang menjalankan tanggungjawab membersihkan sistem kumbahan berkenaan.

“Ini telah mendatangkan rasa kurang selesa penduduk dan setiap kali saya pergi dan pulang dari kerja pasti bau ini terpaksa dihidu saya.

“Air di kumbahan itu telah menjadi terlalu kotor dan baunya begitu kuat itu ada masa membuatkan saya seolah-olah mahu muntah,” katanya.

Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya mendapat aduan daripada penduduk kawasan berkenaan minggu lalu dan dimaklumkan penduduk juga telah menghubungi MBJB dan diberi jawapan tiada peruntukan untuk baiki pulih sistem kumbahan tersebut.

“Penduduk pernah hubungi MBJB dan pihak mereka ada memberitahu kepada penduduk yang membuat panggilan bahawa tiada peruntukan.

“Sebelum ini penduduk telah diberitahu ada kontraktor yang akan membaik pulihnya namun apabila menghubungi pihak majlis sekali lagi, dimaklumkan tiada peruntukan bagi baik pulih sistem tersebut,” katanya.

Katanya, jika hujan, bau busuk itu akan lebih mengganggu penduduk kawasan sekitar dan berharap perkara itu dapat diselesaikan segera.

“Saya akan membuat aduan kepada pihak majlis hari ini serta akan menghantar aduan kepada Biro Pengaduan Awam Negeri pada hari ini juga,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Johor Bahru, Mohd Jaafar Awang ketika dihubungi Sinar Harian, memaklumkan ada terlalu banyak sistem kumbahan yang diterima dan pihaknya perlu menyemak semula perkara tersebut.


“Kita banyak terima aduan berkenaan sistem kumbahan ini dan kita akan semak dulu perkara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment